Skip to main content

Sukan Lain

Terbuka Singapura medan pemanas badan -- Zaidatul

zaidatul-husniah.jpg
Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, menganggap saingan Terbuka Singapura yang bakal bermula 27 April ini sebagai pemanas badan selain mahu memastikan dirinya tidak mengalami sebarang kecederaan menjelang Sukan SEA, Ogos ini.

Tiada sasaran tertentu untuk Zaidatul memecahkan rekod sekali lagi dalam Terbuka Singapura selepas berjaya memperbaharui rekod kebangsaan milik bekas pelari pecut negara, G.Shanti, dengan catatan 11.45 saat di Afrika Selatan.

Jika terlalu memaksa diri, dia khuatir akan terdedah kepada kecederaan yang mungkin berlaku pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna dia memandang rendah akan saingan di Singapura selain tetap mahu memberikan yang terbaik bagi acara 100 meter, 200 meter dan 4x100 meter.

"Tekanan itu tidak dirasai sangat. Buat masa ini, saya hanya beri fokus terhadap latihan. Catatan rekod kebangsaan itu juga di luar jangkaan. 

"Jadi, pencapaian itu sekadar bonus bagi saya," jelas Zaidatul.

Sekadar menamatkan aksi final 100 meter dalam Sukan SEA Singapura 2015 di kedudukan keempat, Zaidatul optimis mampu merampas kembali pingat emas buat negara kali ini.

Saingan sengit pastinya pelari dari Filipina, Kayla Anise Richardson, dan Tassaporn Wannakit dari Thailand. 
 

Advertisement

Must Watch Video