Skip to main content

Sukan Lain

Terbuka AS: Saya tidak punyai "bola kristal" -- Federer

federer.jpg
Roger Federer tidak memiliki "bola kristal" untuk melihat peluangnya untuk menambah gelaran grand slam selepas gagal melakukannya dalam Terbuka AS.

Selepas Novak Djokovic tersingkir daripada pusingan keempat, Federer kelihatan memiliki peluang cerah untuk mendapatkan slot ke final berdepan Rafael Nadal.

Bagaimanapun, dia terpaksa akur dengan kekalahan apabila Grigor Dimitrov melakar kebangkitan dalam aksi suku akhir semalam, dengan pemain di ranking ke-78 dunia itu meraih kemenangan 3-6, 6-4, 3-6, 6-4, 6-2 dalam tempoh tiga jam dan 12 minit.

Kekalahan Federer dibayangi  kecederaan belakang dan menyaksikan dia terpaksa meninggalkan gelanggang bagi mendapatkan rawatan selepas berakhirnya set keempat.

Dia kembali dalam set penentuan, namun tidak dapat mengikut rentak Dimitrov untuk meraih slot ke separuh akhir buat kali ketiga dalam saingan grand slam.

Federer mempamerkan usia bukan penghalang untuk kekal dalam kalangan terbaik dunia ketika mencecah 38 tahun. Bagaimanapun, dia mengakui telah melepaskan peluang di Flushing Meadows tahun ini.

"Saya sangat kecewa kerana telah bermain dengan baik sepanjang kejohanan," kata Federer.

"Terdapat beberapa peluang yang gagal digunakan dengan sebaik mungkin, memiliki tempoh rehat yang lebih panjang, segalanya berjalan lancar bagi saya.

"Tetapi saya perlu menerima kekalahan ini. Saya tidak sabar untuk meluangkan masa bersama keluarga dan melakukan perkara selain bermain tenis."

Mengenai peluangnya untuk memenangi gelaran selepas ini, Federer membalas, "Saya tidak mempunyai bola kristal. Anda ada?

"Sememangnya saya masih lagi berharap. Saya telah menempuhi musim yang positif. Ia agak mengecewakan tetapi saya akan berusaha untuk bangkit."
 

Advertisement

Must Watch Video