Skip to main content

Tenis

Terbuka AS: Ikan berbanding daging, tiada keju -- Nadal

rafaelnadal.jpg
Tidak banyak soalan diajukan kepada Rafael Nadal selepas menewaskan Hyeon Chun dalam Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) hingga perbualan itu beralih kepada tabiat pemakanannya.

Nadal, yang menewaskan Chun 6-3, 6-4, 6-2 dalam pusingan keempat di Flushing Meadows semalam, ditanya dalam sidang media selepas perlawanan tentang tabiat pemakanannya daripada wartawan yang mendengar dia tidak makan daging dan keju.

Juara grand slam 18 kali itu memberikan respons: "Saya tidak makan keju. Saya tidak pernah makan keju sepanjang hidup saya. Saya tidak suka.

"Tentang daging, saya makan daging bila saya mahu makan daging. Saya tiada masalah dengan daging.

"Saya lebih memilih ikan. Itu sahaja. Namun, saya tiada masalah besar dengan diet saya.

"Saya makan apa yang saya mahu makan.

"Tetapi sudah pasti diet itu penting untuk hidup yang sihat," katanya.

Mungkin akan ada peningkatan amalan diet 'pescatarian' berikutan komen Nadal itu.

Pemain Sepanyol itu bertarung dengan kecederaan pinggul awal tahun ini, yang memaksanya menarik diri daripada Kejohanan Indian Wells dan Terbuka Miami.

Dia dilihat amat cergas ketika menentang Chun dan ketika ditanya tentang kecergasannya, Nadal berkata: "Sejujurnya, tiga bulan pertama musim ini amat sukar, terlalu banyak isu.

"Dan selepas itu, benar, selepas Barcelona, segala-galanya bertambah baik.

"Saya dapat mengembalikan sedikit-sebanyak kecergasan untuk bermain dengan gerakan yang bebas.

"Ia memberikan saya peluang untuk kembali bersaing di tahap tertinggi.

"Dan paling penting, dapat menikmati sukan ini.

"Itulah yang paling penting untuk karier saya pada tahap ini.

"Saya tidak fikir akan ada banyak kejohanan lagi untuk saya tahun ini.

"Mungkin hanya beberapa.

"Kejohanan ini adalah antara yang anda mahu bersedia.

"Jadi, di sini, saya akan mencuba yang terbaik dan akan memberikan 100 peratus untuk bersedia bagi menghadapi pusingan berikutnya," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video