Skip to main content

Tenis

Tenis Terbuka Perancis: Kecederaan paksa Halep tarik diri

halep.jpg
Simona Halep menarik diri daripada Kejohanan Tenis Terbuka Perancis tahun ini gara-gara kecederaan betis.

Otot betis kiri juara 2018 di Roland Garros itu terkoyak ketika menentang Angelique Kerber dalam Terbuka Itali di Rom, minggu lalu.

Malam tadi, Halep menyiarkan satu kenyataan di Twitter untuk mengesahkan bahawa dia tidak akan sempat pulih untuk mengambil bahagian dalam acara grand slam kedua musim ini yang akan membuka tirai di Paris Isnin ini. 

"Dengan berat hati saya mengumumkan untuk menarik diri daripada Roland Garros tahun ini," kata pemain nombor tiga dunia itu.

"Sayangnya otot betis kiri terkoyak jadi saya memerlukan masa yang lebih panjang untuk pulih tatkala masa semakin suntuk. 

"Pengunduran ini bertentangan dengan segala naluri dan cita-cita saya sebagai seorang atlet tetapi ia adalah keputusan yang tepat.

"Memikirkan saya tidak akan berada di Paris memang mengecewakan tetapi saya perlu menumpukan tenaga bagi tujuan pemulihan, tetap positif dan kembali ke gelanggang sebaik sahaja sembuh.

"Roland Garros 2022, saya akan datang untuk anda! Bientot (jumpa lagi!)"





Halep menundukkan Sloane Stephens untuk menjuarai kejohanan gelanggang tanah liat itu tiga tahun yang lalu, namun dikecewakan dalam final edisi 2014 dan 2017.

Pemain Romania berusia 29 tahun itu -- yang juga memenangi Wimbledon pada 2019 -- mara ke suku akhir Terbuka Australia pada Februari lalu sebelum laluannya disekat Serena Williams.

 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found