Skip to main content

Tenis

Tenis: Rafael Nadal tolak misi sapu bersih Grand Slam musim ini

nadal.jpg
Rafael Nadal berkata adalah tidak masuk akal untuk orang ramai menganggapnya berpotensi melengkapkan kalendar Grand Slam musim ini selepas mengungguli Terbuka Australia dan Terbuka Perancis.

Pemain Sepanyol itu kembali daripada pergelutan kecederaan kaki yang berlarutan untuk menggondol dua gelaran utama tahun ini, bermula di Melbourne sekali gus mengatasi pencapaian koleksi 20 kejuaraan Grand Slam milik Roger Federer dan Novak Djokovic. 

Nadal melebarkan rekod itu dengan merangkul gelaran ke-22 ketika Raja Tanah Liat tersebut menjulang gelaran Terbuka Perancis ke-14 menerusi kemenangan straight set ke atas Casper Ruud, semalam. 

Pemain berusia 36 tahun itu perlu menerima beberapa suntikan sebelum setiap perlawanan dan akan menjalani suntikan frekuensi radio untuk memastikannya berpeluang memburu gelaran utama ketiga tahun ini di Kelab All England.

Nadal masih belum pasti adakah dia memerlukan pembedahan serius demi memanjangkan kerjayanya sambil menaruh harapan untuk beraksi di London dalam Terbuka Wimbledon yang bermula pada 27 Jun ini.

 

Kejayaan di gelanggang rumput itu akan menjadi kejuaraan utama ketiganya tahun ini sebelum Terbuka Amerika Syarikat yang dijangka berlangsung hujung Ogos depan, tetapi Nadal menegaskan dia tidak mampu melihat terlalu jauh dalam usahanya menyapu bersih keempat-empat Grand Slam musim ini. 

“Naik gila memikirkan tentang melengkapkan Grand Slam selepas (kejayaan) Terbuka Australia dan di Roland Garros,” katanya.

"Saya tidak mempertimbangkannya selain berjuang untuk memenangi Grand Slam, saya akan mendaftar hanya untuk beraksi dalam kesemua kejohanan Grand Slam.

"Ia sesuatu yang gila untuk memenangi keempat-empatnya, ia kelihatan tidak masuk akal bagi saya kerana ia adalah sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun sejak Rod Laver.

"Yang paling dekat ialah Novak pada tahun lalu. Memang gila apabila memikirkannya."

Advertisement

Must Watch Video