Undian suku akhir sepatutnya berlangsung pada 18 Mac ini.
Paling utama, Johor Darul Ta'zim (JDT) perlu mengesahkan terlebih dahulu kemaraan ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) buat kali pertama dalam sejarah.
Advertisement
Dengan kelebihan jaringan usai kemenangan 3-1 dalam perlawanan timbal balik pertama pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) minggu lalu, Harimau Selatan perlu mengekang serangan Sanfrecce Hiroshima daripada melakar kebangkitan petang ini.
Terdahulu, Ager Aketxe, Bergson Da Silva dan Marcos Guilherme menjadi wira skuad kendalian Xisco Munoz menewaskan wakil Jepun itu buat kali kedua selepas Vissel Kobe di tempat sendiri musim ini.
Menerusi pecahan aksi kalah mati, sebanyak lapan pasukan dari zon Asia Barat bakal menjadi antara potensi lawan wakil Malaysia itu di peringkat suku akhir yang dijadualkan berlangsung secara berpusat di Jeddah, Arab Saudi April ini.
Al-Sadd dan Al-Duhail (Qatar), Shabab Al-Ahli dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Tractor dari Iran dan tiga pasukan dari Arab Saudi iaitu Al-Hilal, Al-Ahli dan Al-Ittihad merupakan pencabar terkuat yang boleh bertemu dengan JDT.
Namun, penentuan itu belum ditentukan ekoran zon Asia Barat terpaksa menangguhkan seketika aksi ACLE ekoran konflik ketegangan melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan l***el.
Keputusan itu dibuat selepas Iran melancarkan serangan balas ke beberapa lokasi di rantau Teluk pada Sabtu dan Ahad, sekali gus meningkatkan tahap risiko keselamatan di kawasan berkenaan.
Ia, sekali gus mengakibatkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), mengumumkan penangguhan perlawanan kalah mati pusingan pertama yang dijadual berlangsung di Asia Barat.
Anda mahukan JDT lawan pasukan Arab yang mana?
Dan, perlukah AFC merombak semula jadual serta membenarkan aksi di tempat lain supaya tidak khusus di Arab Saudi secara serentak?