Skip to main content

Hoki

Syafiq tidak rela terus kempunan wakili The Malaysian Hockey Tigers

syafiq.jpg
Persaingan merebut 18 tempat dalam skuad Piala Sultan Azlan Shah bersama The Malaysian Hockey Tigers semakin sengit. 

Antara yang mencuri tumpuan ialah kelibat Syed Mohd Syafiq Syed Cholan selaku pendatang baru. 

Pemain pertahanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu terpilih selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam Liga Hoki Malaysia (LHM), namun terlepas tugasan pertama, iaitu pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh. 

Begitupun, pakar pukulan sudut penalti itu enggan mengaku kalah dan berharap dapat menyertai kejohanan sulung di Ipoh nanti. 

"Persaingan merebut tempat amat sengit memandangkan pemain di bahagian pertahanan adalah tonggak berpengalaman.

"Maka, saya perlu cepat belajar dan memberikan aksi terbaik," katanya. 

Dia akan berkesempatan diturunkan dalam aksi persahabatan Malaysia berdepan New Zealand, minggu depan, untuk memikat jurulatih kebangsaan, Stephen Van Huizen. 

Ia sebagai medan pemilihan terakhir Stephen sebelum mengumumkan 18 pemain untuk menghadapi kempen pada 29 April hingga 6 Mei nanti.

Turut menarik perhatian ialah seorang lagi pemain pertahanan, Muhammad Razie Abd Rahim, yang disahkan pulih daripada kecederaan hamstring. 

"Saya pun tak pasti mengenai peluang saya, tetapi saya akan buat yang terbaik dalam aksi persahabatan menentang New Zealand nanti. 

"Semuanya terpulang kepada jurulatih. Kalau diberi peluang, sudah pasti saya akan menampilkan aksi terbaik," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video