Penganjuran Sukan Terengganu (Sutera) pada musim akan datang bakal diperluaskan dengan mengundang lebih banyak kontinjen dari luar negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata cadangan tersebut bertujuan mencungkil lebih ramai bakat sukan di peringkat akar umbi di seluruh negara.
Beliau berkata setakat ini, Sutera yang dianjurkan buat julung kali tahun ini disertai sembilan kontinjen melibatkan lapan daerah di Terengganu dan satu kontinjen jemputan dari Kelantan.
"Sutera adalah sukan dwitahunan negeri ini yang kami adakan berselang-seli dengan Sukan Malaysia (Sukma) bagi mengenal pasti bakat baru untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.
"Untuk edisi seterusnya, mungkin kami undang Pahang dan jika ada kemampuan kewangan, boleh dibuka kepada negeri lain untuk tingkatkan lagi prestij penganjurannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sutera di Stadium Mini Olahraga Gong Badak, malam tadi.
Seramai 2,400 atlet akan bertanding dalam 13 jenis sukan dalam temasya yang berlangsung selama seminggu bermula Khamis lalu, antaranya berbasikal, bola jaring, silat, sepak takraw, boling, olahraga, ping pong dan bola tampar.
Dalam perkembangan lain, Wan Sukairi berkata penubuhan Institut Sukan Negeri (ISN) akan diteruskan seperti dirancang setelah kedudukan kewangan negeri kembali stabil.
Beliau berkata perancangan itu terpaksa ditangguhkan sementara memandangkan kos bagi pembelian peralatan latihan berteknologi tinggi agak mahal sehingga mencecah kira-kira RM3 juta.
"Mesyuarat Exco Negeri dua minggu lalu bersetuju untuk meneruskan penubuhan ISN dan hanya tunggu masa sesuai.
"Cadangan pusatnya di Majlis Sukan Negeri (MSN) dan ia akan menjadi pusat bagi semua atlet Sukma dan negeri menjalani latihan sukan ke arah berteknologi tinggi," katanya.
-- BERNAMA