Skip to main content

Bola Jaring

Sukan SEA: Tiada kebimbangan dalam skuad bola jaring negara

19417aminahashaari.jpg
Penolong jurulatih skuad bola jaring negara, Aminah Ashaari, tidak bimbang dengan ketiadaan empat pemain muda yang mengikuti kem latihan skuad remaja, jauh sekali melabelkan situasi itu mengganggu persediaan pasukan yang sudah memasuki fasa ketiga.

Dua daripada empat pemain remaja -- An Najwa Azizan bagi posisi penjaring dan Noor Azilah Aziz yang beraksi di posisi tengah -- yang terlibat dengan kem latihan remaja ketika ini merupakan tonggak utama skuad negara.

Memasuki fasa ketiga persediaan skuad negara sebelum bermula Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-30 Ogos depan, ketiadaan empat tonggak ini mungkin menyukarkan proses latihan harian mereka.

Bagaimanapun, hal itu dinafikan Aminah, yang menganggap ia adalah perkembangan positif dan pengalaman bersama skuad remaja dianggap sebagai latihan terbaik sebelum mereka kembali bersama skuad senior.

Keempat-empat pemain itu bakal beraksi dalam Kejohanan Remaja Asia di Korea Selatan pada awal bulan depan.

"Memang tiada masalah sebab mereka telah bersama sejak Oktober tahun lalu sampai sekarang. Selama inipun, pemain remaja hanya pergi kem selama seminggu pada setiap bulan.

"Maka, dalam kem remaja tersebut, pasukan senior turut sama hadir membantu pemain remaja, di mana kami menjalankan perlawanan persahabatan," katanya.

Dalam pada itu, pemain di bahagian pertahanan, Siti Nor Farhana Mustafa, tidak sabar menafikan hasrat pencabar utama negara, iaitu Singapura, untuk mempertahankan emas dua tahun lalu.

Sudah pasti kegagalan lalu mahu ditebus skuad negara dengan beraksi di laman sendiri sebagai kelebihan mereka.

"Aplikasi taktikal baru yang diturunkan ketua jurulatih kami (Tracy Robinson) dan penolong jurulatih (Aminah), mungkin dapat membantu untuk menghadapi tentangan Singapura," kata pemain pertahanan, Farhana.

Advertisement

Must Watch Video