OLAHRAGA
Sukan SEA: Skuad olahraga ukur kemampuan di Singapura
Barisan atlet olahraga negara mahu menjadikan Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura yang bermula pada 27 April ini sebagai medan pemanas badan bagi menguji prestasi menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur, 19 hingga 30 Ogos depan.
Antara atlet yang menyinar ketika ini adalah pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, yang mencipta sensasi memecahkan rekod kebangsaan 100 meter -- yang dipegang G. Shanti selama 24 tahun -- di Afrika Selatan tempoh hari dengan catatan 11.53 saat.
Namun, untuk saingan Terbuka Singapura kali ini, Zaidatul hanya akan beraksi dalam acara 200 meter dan 4x100 meter.
Iklan
Misinya kini adalah untuk menyamai rekod kebangsaan 4x100m yang dilakar ketika Terbuka Singapura, tahun lalu, dengan catatan 45.32 saat bersama-sama Siti Fatimah Mohamed, S. Komalam dan Nurul Faizah Asma.
"Kalau diikutkan, saya tidak banyak menyertai acara 4x100m di Afrika Selatan yang lalu.
"Apapun, kali ini kami ingin meraih catatan di luar jangkaan," katanya.
Dalam masa yang sama, rakan-rakan Zaidatul dalam kem olahraga juga mengidam untuk sekurang-kurangnya menyamai rekod peribadi masing-masing sambil mengkaji tahap prestasi pencabar lain sebagai persiapan menghadapi temasya pada Ogos nanti.
"Pretasi saya agak memberangsangkan ketika mengambil bahagian di Singapura, tahun lalu.
"Ia merupakan sebuah trek dan stadium yang bagus.
"Sudah tentu saya mahu menilai kemampuan diri demi memperbaiki kekurangan persembahan saya kelak," ujar jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh.
Raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, turut mengimpikan untuk melakar persembahan bertenaga.
"Saya mahu membuat catatan peribadi terbaik di sana.
"Ia juga medan untuk saya menguji kemampuan diri bersaing dengan atlet-atlet negara lain, selain mengenali pasti pencabar dalam Sukan SEA nanti," kata Khairul Hafiz.
Must-Watch Video