SUKAN LAIN
Sukan SEA: Skuad memanah negara prospek terbaik penyumbang pingat emas pertama
Skuad memanah negara mengambil alih prospek terbaik penyumbang pingat emas sulung negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur selepas proses kemas kini jadual pertandingan yang akan diumumkan secara rasmi oleh Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA dan Para ASEAN (MASOC), Rabu ini.
Perubahan tarikh temasya menyaksikan skuad memanah compound negara akan menggantikan pasukan renang berirama untuk menyumbang emas sulung.
Ia disahkan Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, selepas mengadakan pertemuan dengan MASOC dan persatuan sukan kebangsaan.
Iklan
Empat emas akan ditawarkan pada 16 Ogos, iaitu hari ketiga temasya yang akan menjadi rebutan acara sepak takraw dan memanah.
Begitupun, memanah memiliki peluang besar selepas skuad compound menyumbang lima emas di Singapura, dua tahun lalu.
"Jika jadual ini diluluskan, skuad memanah negara mampu membutirkan pingat emas pertama buat Malaysia," kata Beng Choo.
Dua emas memanah membabitkan acara compound individu lelaki dan wanita.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi, meminta atlet bersiap-sedia menghadapi sebarang perubahan sebelum pengumuman rasmi dibuat Rabu ini.
"Pada pendapat saya, jadual tidak memainkan peranan, bagaimanapun, persiapan atlet adalah perkara yang perlu diutamakan," katanya.
Must-Watch Video