Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: MOM jamin tiada kecelaruan jadual

sukan-sea-mesyuarat.jpg
Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, memberi jaminan tidak akan berlaku kecelaruan mengenai penjadualan semula pertandingan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. 

Tarikh upacara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 hari ini diumumkan akan diadakan pada 30 Ogos bagi menghormati sambutan Aidiladha yang dijangka jatuh pada 1 September. 

Menurut Beng Choo, Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC) hanya akan mengumumkan jadual baru selepas mengadakan perbincangan dengan persatuan sukan serta pihak penyiar rasmi. 

"Semua acara sukan perlu dihabiskan pada 30 Ogos, iaitu sebelum pukul 2 petang. 

"Ini kerana upacara penutup akan diadakan malam harinya," ujarnya.

Dalam masa sama, Beng Choo menegaskan isu kos untuk menukar tarikh di papan iklan serta promosi lain akan berada pada tahap minimum kerana hanya membabitkan perubahan tarikh upacara penutup. 

Bilangan hari penganjuran Sukan SEA masih dianggap berada di landasan betul memandangkan kebanyakan tuan rumah sebelum ini mengambil masa menganjurkannya selama 11 hari. 

"Sebenarnya kalau diteliti, kita telah jimat sehari. 

"Hal membabitkan percetakan dan dokumentasi hanya melibatkan soal pengubahsuaian. 

"Saya fikir perubahan tarikh upacara penutup bukanlah isu besar."

Mengenai kemudahan gelanggang pertandingan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menjelaskan kerja-kerjanya telah siap hampir 80 peratus, dengan Lapang Sasar Subang serta Velodrom Nasional di Nilai akan diserahkan kepada MASOC tidak lama lagi. 

Gelanggang lain seperti Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Stadium Tertutup Titiwangsa akan diserahkan bulan depan. 

"Saya boleh memaklumkan bahawa kerja-kerja penambahbaikan di venue Lapang Sasar Subang telah pun siap.

"Pada hujung bulan ini, kami akan menerima penyerahan Velodrom Nasional, Stadium Bola Keranjang MABA dan Kompleks Sukan Air d Putrajaya," ujarnya. 

Advertisement

Must Watch Video