KL2017
Sukan SEA: Malaysia tolak permohonan untuk uji venue
Malaysia menolak permohonan beberapa negara yang mahu menguji venue Sukan SEA, dengan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola KL2017 (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong, menegaskan keputusan itu mengikut peraturan antarabangsa.
Kejayaan Malaysia berjaya menyiapkan beberapa venue mengikut jadual mula dihidu negara luar.
Sebahagian negara sudah menghantar permohonan sama ada menerusi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atau Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menguji venue seperti KL Sports City, boling padang, bola jaring dan Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan tetapi terpaksa ditolak.
Iklan
"Latihan rasmi hanya akan dibenarkan dua hari sebelum pertandingan. Jadi, kami tidak akan membenarkannya (latihan lebih awal). Ini adalah peraturan yang biasa diamalkan, dan apabila kita ke luar negara pun, kita mengalami situasi yang sama.
"Kalau mereka mahu datang awal untuk berlatih bagi membiasakan diri dengan cuaca, mereka boleh uruskan sendiri," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo, berkata: "Walapun kita sudah mengatakan venue-venue sudah siap pada 1 Ogos, ada banyak perkara dalaman yang belum lagi siap.
"Jadi, kalau kita membuka venue-venue itu untuk diuji oleh atlet lain, kita tidak dapat melakukan kemasan akhir."
Begitupun, Malaysia masih bermurah hati dan membenarkan Brunei menguji Velodrom Nasional minggu lalu.
Indonesia turut berminat, namun masih menunggu tarikh sesuai.
"Indonesia ada buat permintaan, cuma mereka tidak memberitahu tarikhnya," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
"Itu terpulang kepada mereka dan kita akan bincang, bergantung kepada persediaan venue dan tarikhnya. Insya-Allah kita akan membantu mereka."
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, meninjau venue boling padang dan bola jaring di Bukit Kiara yang sudah diserahkan kepada MASOC.
Must-Watch Video