Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Khairul Hafiz sempat pulih sebelum beraksi dalamSukan SEA

khairul-hafiz-290417.jpg
Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas, menganggap kecederaan yang dialami oleh raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, tidak serius dan mampu pulih sepenuhnya untuk beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur. 

Khairul Hafiz mengalami kecederaan kaki kanan sewaktu beraksi dalam Terbuka Singapura, Jumaat lalu, yang menyaksikan dia sekadar berpuas hati di tempat keempat bagi acara 100 meter.

Meskipun menyifatkan ia tidak serius, itu bukan bermakna Khairul Hafiz harus mengambil mudah kerana dia masih memerlukan masa untuk kembali ke sesi latihan seperti biasa.

Justeru, pemegang rekod kebangsaan itu bakal menjalani proses pemulihan di Insititut Sukan Negara (ISN) pada minggu hadapan sehingga disahkan benar-benar pulih.

“Pihak perubatan di ISN akan membuat penilaian mengenai kecederaan yang dialami oleh Khairul Hafiz dan memberikan aktiviti yang diperlukan untuk membantu dia pulih sepenuhnya sebelum kembali menjalani latihan,” kata Zainal.

Dalam masa sama, Zainal tidak menolak pelari kelahiran Sarawak, Nixon Kennedy, semakin mencuri tumpuan apabila meraih pingat emas dalam Terbuka Pahang dengan mencatat 10.27 saat yang merupakan catatan kedua terpantas setakat ini selepas Khairul Hafiz.

“Kami masih menantikan keputusan rasmi daripada penganjur kejohanan untuk mendapatkan kepastian. Bagaimanapun, catatan masa yang dihasilkan oleh Nixon adalah amat memberangsangkan.”

Advertisement

Must Watch Video