SUKAN LAIN
Sukan SEA: Kem latihan remaja tidak gugat persiapan skuad senior
Penolong jurulatih skuad bola jaring negara, Aminah Ashaari, tidak bimbang dengan ketiadaan empat tonggak remaja yang mengikuti kem latihan remaja ketika ini, jauh sekali melabelkan situasi itu mengganggu persediaan skuad bola jaring yang sudah memasuki fasa ketiga.
Dua daripada empat pemain remaja yang terlibat dengan kem latihan remaja merupakan tonggak utama skuad negara, iaitu An Najwa Azizan bagi posisi penjaring dan Noor Azilah Aziz yang memainkan peranan di posisi tengah.
Memasuki fasa ketiga persediaan skuad negara sebelum bermulanya Sukan SEA Kuala Lumpur dari 19 hingga 30 Ogos depan, ketiadaan empat tonggak ini mungkin menyukarkan proses latihan harian mereka.
Iklan
Namun, hal ini dinafikan Aminah yang menganggap ia adalah perkembangan positif dan pengalaman bersama skuad remaja dianggap sebagai latihan terbaik sebelum mereka kembali bersama skuad senior.
Keempat-empat pemain terbabit bakal beraksi dalam Kejohanan Remaja Asia di Korea Selatan, awal bulan depan.
"Skuad bola jaring tidak mempunyai masalah dengan situasi ini kerana telah dibentuk sejak Oktober tahun lalu.
"Selama ini pun, pemain-pemain remaja hanya mengikuti kem latihan remaja selama seminggu sahaja pada setiap bulan.
"Dalam kem remaja pun, pemain senior turut hadir bagi tujuan mengadakan perlawanan persahabatan," katanya.
Dalam pada itu, pemain di bahagian pertahanan, Siti Nor Farhana Mustafa, tidak sabar untuk menafikan hasrat pencabar utama negara, iaitu Singapura, yang pasti mahu mempertahankan kilauan pingat emas, dua tahun lalu.
Sudah pasti, kegagalan lalu mahu ditebus skuad negara dengan beraksi di laman sendiri sebagai kelebihan skuad negara.
"Aplikasi taktikal baru yang diturunkan oleh jurulatih, Tracy Robinson dan Aminah, adalah pendekatan baru untuk kami menghadapi Singapura nanti," katanya.
Must-Watch Video