SUKAN LAIN
SUKAN SEA: Indonesia sasar 10,000 peserta Program Larian Baton Bangkit Bersama
Menjelang Program Larian Baton Bangkit Bersama Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Indonesia menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 peserta akan turut sama dalam acara tersebut yang akan berlangsung esok.
Edisi sebelum ini di Kemboja, 22 April lalu, menyaksikan 5,000 peserta menyertai larian tersebut, sekaligus disifatkan sebagai edisi paling meriah.
Bertekad untuk mengatasi jumlah itu, Indonesia sudah pun giat mempromosikan acara ini kepada rakyatnya dan yakin akan mengumpulkan jumlah yang ramai.
Iklan
Makluman positif itu disampaikan oleh Kementerian Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia kepada delegasi Malaysia ketika mesyuarat dan taklimat ringkas Larian Baton Bangkit Bersama, semalam.
"Mereka telah memaklumkan terdapat 4,000 pengayuh basikal yang akan turut memeriahkan program ini," kata Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Belia Dan Sukan, Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.
Isu kesesakan lalu lintas di bandaraya Jakarta juga tidak menjadi masalah kerana pihak berkuasa tempatan akan menutup beberapa jalan utama bagi memudahkan kelancaran acara ini berlangsung.
Larian Baton Bangkit Bersama Kuala Lumpur 2017 di Jakarta akan meliputi jarak sejauh 9.6 kilometer dan melalui beberapa tempat ikonik, antaranya Stadium Gelora Bung Karno dan Muzium Nasional.
"Dengan penutupan jalan, tiada masalah yang akan dihadapi bagi menjalankan program larian baton ini."
Must-Watch Video