Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Asia 2018: Cabaran sukar menanti Amy

amykwan.jpg
Atlet gimnastik berirama negara, Amy Kwan, akur cabaran dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang Ogos ini jauh lebih mencabar berbanding Sukan Komanwel Gold Coast dan menyifatkan kemaraan ke pentas akhir sebagai sasaran realistik buat dirinya.

Di Gold Coast, Amy meraih emas dalam acara reben dengan meraih 13.200 mata yang juga emas pertama negara menerusi gimrama dalam Sukan Komanwel sejak kejayaan Elaine Khoo pada edisi 2010 di New Delhi.

Namun, dia mengakui perlu menggandakan usaha untuk bersaing di peringkat Sukan Asia yang pasti mengaitkan lagi cabaran untuk meraih pingat.

Kehadiran gimnas China serta beberapa gergasi Asia lain seperti Uzbekistan pasti menyukarkan lagi saingan di Indonesia.

"Saya pernah bertemu pesaing dalam Sukan Asia dalam kejohanan Piala Dunia, mereka memiliki kualiti kemahiran yang tinggi ketika melaksanakan rutin," kata Amy.

Amy bakal melakukan penampilan sulung Sukan Asia, Ogos ini, dan tetap memberikan jaminan untuk memberi saingan terbaik kepada pencabar lain walaupun di atas kertas, peluang meraih pingat tampak sukar.

"Kami akan cuba melakukan yang terbaik dalam usaha untuk mendapatkan pingat. Buat masa ini, kami masih lagi bercuti seketika sebelum kembali menjalani latihan untuk saingan akan datang."

Advertisement

Must Watch Video