Skip to main content

Sukan Lain

Status LTdL ditentukan hujung bulan ini

ltdl.jpg
Persoalan mengenai status Le Tour de Langkawi (LTdL) akan ditukar kepada siri profesional atau terpaksa turun pangkat terus menjadi perhatian menjelang kongres Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), hujung bulan ini yang akan dihadiri Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh.

PKBM sudah menghantar permohonan kepada UCI untuk menukar status perlumbaan LTdL kepada siri profesional.

UCI akan mengubah format status perlumbaan di seluruh dunia bermula 1 Januari tahun depan dengan membahagikannya kepada tiga kategori, iaitu jelajah dunia, siri profesional dan sirkit benua.

Dalam siri profesional, terdapat dua kategori, iaitu kelas hors atau kelas 1 dan jika UCI tidak berpuas hati dengan butiran yang dikemukakan PKBM, LTdL berdepan risiko turun pangkat.

"Saya yakin kami mampu naikkan taraf LTdL kepada siri profesional. Namun, banyak negara dan acara yang telah melengkapkan penyertaan dalam siri profesional walaupun bukan semua jelajah boleh diterima dalam kategori itu.

"Untuk LTdL, saya harap ia akan dimasukkan dalam acara siri profesional," kata Amarjit.

UCI akan membuat keputusan dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan, diikuti kongres di Yorkshire, England bermula 24 September ini.

Untuk rekod, LTdL merupakan antara tujuh perlumbaan di benua Asia yang bertaraf hors, dengan edisi ke-25 kejohanan itu dijangka diadakan pada Februari tahun depan membabitkan Sabah dan Sarawak.
 

Advertisement

Must Watch Video