Skip to main content

Sukan Lain

Stadium Singapura istimewa bagi Nauraj

nauraj.jpg
Venue di Singapura seakan-akan sudah sebati dengan jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh, sehingga membawa kepada kejayaannya mencipta rekod baru kebangsaan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura dengan lompatan 2.30 meter, sekaligus melayakkan diri ke Kejohanan Dunia, Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) secara merit di London, Ogos ini.

Nauraj kini semakin mencipta nama di persada dunia selepas menjadi atlet Malaysia pertama layak secara merit ke Kejohanan Olahraga Dunia. 

Siapa sangka, atlet yang berketinggian 1.93m ini mampu meraih slot ke London menerusi aksinya di Terbuka Singapura, kelmarin.

Namun, apa yang menarik, Nauraj mampu menghasilkan kejayaan berturut-turut di venue sama, iaitu di Stadium Nasional Singapura bermula dari tahun 2015, 2016 dan kini 2017. 

Bermula pada 2015, Nauraj mengharumkan nama negara apabila berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA yang dimenanginya dua tahun sebelum itu.

Dia melakukan lompatan sehingga 2.13m menewaskan atlet Vietnam, Dao Van Thuy yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak ketika itu. 

Bagaimanapun, Nauraj agak kecewa apabila catatannya itu masih terlalu jauh untuk melayakan diri ke Sukan Olimpik Rio yang memerlukan lompatan 2.29m.

Setahun berlalu, Stadium Singapura sekali lagi membawa tuah apabila catatan 2.29m yang ditunggu-tunggu berjaya dicapai dalam  Terbuka Singapura pada April tahun lalu, sekaligus meletakkan dirinya dalam penerbangan ke Rio, Brazil.

Bukan itu sahaja, catatan itu turut memadam rekod berusia enam tahun milik Lee Hup Wei, iaitu 2.27m.

Terbaru, atlet kelahiran Johor ini  sekali lagi melakar sejarah apabila layak ke Kejohanan Dunia secara merit selepas mencipta rekod kebangsaan baru, 2.30m, dalam kejohanan sama yang melayakkannya ke Olimpik tahun lalu. 

Tiga pencapaian menakjubkan ini jelas membuktikan Stadium Singapura sangat istimewa dalam kariernya sebagai atlet, lantas tidak mengejutkan apabila Nauraj sendiri mengakui ia adalah venue paling digemarinya. 

"Saya tidak menjangkakan untuk melakar lompatan yang melayakkan saya ke Kejohanan Dunia. Seperti saya katakan, saya sentiasa turun memberikan aksi 100 peratus saya," kata Nauraj.

Advertisement

Must Watch Video