SUKAN LAIN
Skuasy Terbuka Malaysia: Syafik bangkit ke pusingan kedua
Perseorangan lelaki negara, Syafiq Kamal, menjadikan aksi di laman sendiri sebagai motivasi sebelum bangkit menewaskan pemain Switzerland, Dimitri Steinmann, dalam pusingan pertama Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Perlawanan dramatik itu diheret hingga ke lima set, namun cukup berbaloi buat pemain berusia 23 tahun itu, yang mengesahkan laluan ke pusingan kedua dengan kemenangan 12-10, 3-11, 7-11, 11-4, 11-8.
"Saya tidak pernah lawan dengan dia, jadi mula-mula itu saya hanya memerhatikan permainannya.
Iklan
"Saya cuba bermain mengikut kelemahannya dan kekuatan saya.
"Dalam set pertama, ia menjadi tetapi saya tidak biasa bermain dengan rentak yang lebih tinggi.
"Jadi, dalam set kedua, saya tidak dapat kekal dalam rentak yang pantas itu.
"Saya tewas dalam set kedua dan ketiga.
"Set keempat, ada rakan menyarankan saya agar bermain dengan rally yang lebih panjang," katanya.
Sementara itu, seorang lagi perseorangan negara, Addeen Idrakie, tersingkir awal apabila tewas 11-6, 6-11, 9-11, 9-11 kepada wakil Hong Kong, Henry Leung.
"Saya rasa dalam set pertama, saya bermain dengan bagus.
"Saya banyak melakukan serangan.
"Tetapi dalam set kedua, permainan saya mula berubah, saya terlalu mengikut rentaknya yang perlahan.
"Jadi, saya agak penat kerana mengikut rentak permainannya.
"Saya mula bermain baik dalam set keempat tetapi dia sudah mula yakin dan saya gagal," katanya.
Must-Watch Video