Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar Bersara (B) S. Maniam, meletakkan harapan tinggi ke atas Ng Eain Yow untuk mengulangi kejayaan pada Mei lalu menjelang Kejohanan Terbuka Malaysia 2019, esok.

Eain Yow pernah melakar kejutan dengan menewaskan wakil Hong Kong, Max Lee, dalam saingan suku akhir Kejohanan Skuasy Individu Asia 2019.

Justeru, beliau menuntut skuad negara agar memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi merebut kejuaraan edisi 2019 selain menjadikan kejohanan itu sebagai pelantar persiapan terakhir menjelang Sukan SEA Filipina, November depan.

"Kalau Eain Yow mara ke separuh akhir, ia akan menjadi pencapaian yang bagus buatnya.

"Ini kerana dia pernah mengalahkan Max Lee dan kalau ia dapat diulangi, dia mampu mara ke final.

"Ini tahap permainan yang perlu ditonjolkan skuad lelaki yang diterajui dia dan Ivan Yuen," katanya hari ini mengenai peluang pemain pilihan keempat itu yang akan mendapat laluan khas dalam pusingan pertama esok.

Dalam kempen di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil itu, skuad lelaki negara turut ditunjangi Addeen Idrakie, Syafiq Kamal, Ong Sai Hung and Darren Rahul Pragasasm.

Sementara itu, pemain skuasy wanita negara, Chan Yiwen, enggan menjadikan alasan kepenatan untuk menampilkan aksi cemerlang.

Pemain berusia 19 tahun itu baru tiba di Malaysia hari ini selepas menghadapi saingan Terbuka Skuasy Antarabangsa di Suqian, China.

"Saya enggan meletakkan tekanan kepada diri sendiri kerana baru beralih ke peringkat senior.

"Saya tidak meletakkan apa-apa sasaran, biar saya mengambil satu persatu langkah terlebih dahulu," katanya ketika menjalani persiapan di venue pertandingan, hari ini.

Kredit foto: Squashsite