Chef-de-mission (CDM) Sukan SEA Filipina 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berharap tuan rumah segera memuktamadkan fasiliti yang akan diguna pakai barisan atlet dan pegawai dalam temasya November depan.
Menurutnya, beberapa perkara seperti venue perlawanan, tempat tinggal dan panduan teknikal masih belum ditetapkan meskipun temasya dwitahunan itu akan berlangsung kurang dua bulan lagi.
Namun, Megat Zulkarnain berharap ada jalan penyelesaian menjelang mesyuarat yang akan dihadirinya di Filipina, 14 Oktober ini.
Meskipun mengakui gusar dengan keadaan itu, beliau menuntut kontinjen negara agar kekal konsisten dan berharap ia tidak akan mengganggu persiapan mereka.
"Kami terkejut banyak perkara yang ditukar pada saat-saat akhir.
"Saya telah memaklumkan kepada pengurus-pengurus (setiap) pasukan supaya bersedia daripada segi mental.
"Saya masih mempunyai kepercayaan yang tinggi bahawa akan ada venue baru yang akan mereka (tuan rumah) cadangkan," katanya dalam Program Lawatan CDM Sukan SEA Ke-30 bertemu atlet skuasy di di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.
Dalam pada itu, beliau turut optimis dengan sasaran empat pingat emas oleh barisan pemain skuasy negara dalam Sukan SEA 2019 apabila bakal dibarisi pemain pilihan kedua.
"Mereka perlu bersikap tenang sebab dalam sukan yang memerlukan pergerakan dan menuntut reaksi pantas serta tempo tinggi seperti ini, mereka perlu benar-benar dalam keadaan yang cukup baik.
"Saya mengingatkan mereka supaya sentiasa dalam prestasi dan fizikal yang cukup baik."