Skip to main content

Sukan Lain

Siti Rahmah bangga dicalonkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2016

25417sitirahmah.jpg
Menjelang Anugerah Sukan Negara 2016 yang akan berlangsung malam esok, persaingan tampak sengit apabila setiap calon mempunyai kredibiliti hebat di pentas antarabangsa.

Namun, mungkinkah pesilat wanita negara, Siti Rahmah Muhammad Nasir, meraihnya buat kali pertama?

Berbekal status juara Kejohanan Silat Dunia kelas Puteri E di Bali, Indonesia Disember tahun lalu, Siti Rahmah diletakkan antara prospek untuk dinobat selaku Olahragawati Kebangsaan 2016.

Bagi Siti Rahmah, meskipun ini merupakan kali ketiga dicalonkan, dia tidak meletakkan harapan tinggi memandangkan lima pesaing lain juga bukan calang-calang atlet.

Antaranya ratu terjun negara, Pandelela Rinong, yang turut pernah menggondol anugerah itu pada tahun 2015.

"Berada di atas pentas bersama-sama calon akhir pemenang anugerah ini sudah cukup berharga buat saya.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Persekutuan Silat Kebangsaan, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara yang mencalonkan saya," kata Siti Rahmah.

Rakan sepasukan, Mohd Al-Jufferi Jamari, yang turut meraih emas dalam Kejohanan Silat Dunia di Bali, menyifatkan persaingan untuk anugerah edisi kali ini lebih sengit.

Berbanding edisi lalu, calon yang tersenarai kali ini mempunyai kejayaan yang tidak kurang hebatnya di peringkat antarabangsa seperti pemain badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, dan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang.

"Saingan kali ini amat sengit, saya merupakan salah seorang atlet silat untuk bersama-sama Chong Wei dan Azizulhasni sudah memadai buat saya," jelas Al-Jufferi.

Untuk rekod, Al-Jufferi pernah mengondol anugerah Olahragawan Kebangsaan pada tahun 2015.

Advertisement

Must Watch Video