Skip to main content

Sepak Takraw

PSM mungkin terlepas pandang -- ASTAF

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

takraw-sukan-asia.jpg
Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader, menganggap segala dakwaan yang dilemparkan kepada badan induk itu adalah tidak wajar.

Semalam, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan layanan ASTAF dalam Sukan Asia Hangzhou. 

Jelas Halim, PSM mungkin tidak mengambil maklum mengenai peraturan yang ditetapkan oleh ASTAF dan Persekutuan Sepaktaktaw Dunia (ISTAF) yang membenarkan pengurus pasukan melakukan bantahan rasmi selama tempoh 30 minit sebaik sahaja perlawanan berakhir.

Jika tiada sebarang bantahan rasmi dilakukan, maka keputusan tersebut dikekalkan.

PSM meluahkan kekesalan dengan beberapa keputusan serta insiden kontroversi ketika aksi final acara regu yang menemukan Malaysia dan Thailand.

"Mungkin jurulatih dan pasukan Malaysia tidak diberitahu tentang adanya (prosedur) protes yang disiapkan oleh pihak ASTAF dan ISTAF, jadi siapa yang harus dipersalahkan," kata Halim.





Dan ketika mengulas mengenai dakwaan tiada wakil PSM di upacara penyampaian hadiah ketika dua aksi final melibatkan Malaysia, Halim berkata lagi, "Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh, telah diberikan kad akreditasi tapi tidak menggunakannya untuk masuk ke stadium apabila duduk di tempat yang tidak sesuai yang ditetapkan kepada peserta dan pegawai. 

"Sebaliknya beliau dan dua lagi pegawai berada di tempat duduk penonton yang membeli tiket. 

"Kami tidak boleh sewenang-wenangnya untuk menamakan mana-mana pegawai untuk penyampaian medal, ia di bawah kuasa OCA (Jawatankuasa Olimpik Asia) dan bukannya ASTAF."

Advertisement

Must Watch Video