PIALA SAS
PSAS: Muslihat Malaysia dalam tangan Peillat
Pakar pukulan sudut penalti Argentina, Gonzalo Peillat, sudah tidak sabar untuk membuat perhitungan dengan Malaysia dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh malam ini, dengan menegaskan rahsia skuad negara ada dalam genggamannya.
Peillat bukanlah asing buat warga hoki tempatan meskipun hanya berkelana selama dua bulan di sini -- berbakti dengan pasukan Terengganu Hockey Team (THT) dalam kancah Liga Hoki Malaysia (LHM), impak yang ditinggalkannya cukup besar.
Apatah lagi, dia muncul penjaring terbanyak liga dengan 16 gol secara keseluruhan, 13 daripadanya menerusi pukulan sudut penalti.
Iklan
Ironinya, menjelang perlawanan menentang Malaysia, Peillat akan turun berentap dengan beberapa rakan sepasukannya dalam THT seperti Faizal dan Fitri Saari.
"Faizal dan Fitri merupakan pemain yang sangat bagus. Saya bermain di samping mereka dalam liga.
"Mungkin saya boleh menyalurkan maklumat kepada rakan sepasukan.
"Kami harus berwaspada dengan serangan lawan, Malaysia sebuah pasukan mantap, malah hebat dalam serangan balas," katanya.
Biarpun pasukan Malaysia dilihat mampu menyaingi Argentina berdasarkan dua aksi persahabatan yang berkesudahan Malaysia tewas 3-2 pada 27 Februari lalu sebelum menang 3-0 sehari kemudian, Peillat menegaskan keputusan itu tidak mencerminkan kekuatan sebenar Argentina kerana ketika itu, kebanyakkan pemain baru sahaja tiba di ibu negara.
"Ini perlawanan yang berbeza.Sebelum ini, kami mencuba pendekatan baru untuk digunakan bagi perlawanan lain, malah pemain juga diletakkan di posisi berbeza," kata Peillat lagi.
Sementara itu, bekas rakan sepasukan Peillat dalam THT, Fitri, mengingatkan rakan sepasukannya untuk cuba mengurangkan kesilapan di dalam kawasan D yang boleh mengundang pukulan sudut penalti.
Setakat dua perlawanan ini, Peillat sudah mencetak enam gol, kesemuanya menerusi pukulan sudut penalti.
Namun, berdasarkan prestasi semasa skuad kebangsaan, Fitri yakin rakan sepasukannya mampu memberikan tentangan sengit buat pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 itu.
Kali terakhir Malaysia bertemu Argentina dalam kejohanan kompetitif adalah dalam Liga Hoki Dunia di London, Jun tahun lalu, yang menyaksikan Malaysia tewas 2-1, dengan Fitri muncul penjaring tunggal buat negara.
"Kami cuba elak pukulan sudut penalti, apa-apa pun kami perlu cuba elak melakukan terjahan di luar D.
"Pukulan sudut penalti tetap akan ada dalam setiap perlawanan, cuma kami perlu elak daripada kerap melakukannya. Kalau boleh daripada tiga peluang diberi, boleh dikurangkan kepada satu pukulan sahaja, lebih bagus kalau dapat menghalang terus mereka daripada mendapatkan pukulan sudut penalti .
"Kalau berdepan situasi itu pun, kami akan tetap buat yang terbaik," katanya.
Must-Watch Video