Skip to main content

Sukan Lain

Projek velodrom Dungun dapat lampu hijau

azizul-200417-2.jpg
Projek pembinaan velodrom baharu di daerah Dungun, Terengganu, bakal dimulakan dalam masa terdekat selepas tertangguh hampir tujuh tahun.

Perkara itu disahkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, dalam lawatan kerja dua harinya ke negeri itu, Ahad lalu.

Katanya, Kerajaan Persekutuan telah memberikan lampu hijau untuk memulakan projek itu secara berperingkat, yang menelan belanja keseluruhan RM10 juta.

“Perdana Menteri bersetuju untuk memperuntukkan RM1j tahun ini sebagai permulaan fasa pertama projek melibatkan urusan tanah dan kerja-kerja awal.

“Hanya tinggal pelantikan kontraktor dan pembinaan velodrom ini akan dilaksanakan dengan segera,” ujar Ahmad Razif.

Menurutnya, projek itu juga selaras dengan hasrat Terengganu melahirkan lebih ramai jaguh berbasikal untuk mengikut jejak langkah juara dunia, Azizulhasni Awang, yang juga anak kelahiran Dungun.

Sementara itu, Ahmad Razif turut mengumumkan pemberian insentif bulanan berjumlah RM2,000 kepada atlet-atlet Terengganu yang berjaya menempatkan diri dalam skuad negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Insentif bulanan itu, ujarnya lagi, diharapkan mampu menyuntik semangat atlet untuk memburu pingat dalam temasya berprestij itu dan akan diberikan setiap bulan sehingga hari kejohanan.

Ahmad Razif berkata demikian selepas menyambut kepulangan Azizulhasni ke Terengganu dalam Majlis Sambutan Wira Negara di Wisma Darul Iman, semalam.
 

Advertisement

Must Watch Video