SUKAN LAIN
The Pocket Rocketman bakal terima insentif
Kerajaan Negeri Terengganu akan memberi ganjaran kepada Azizulhasni Awang susulan kejayaannya memenangi pingat emas acara keirin dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia (UCI) di Hong Kong, Khamis lalu.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, yang mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, dalam perjumpaan bersama keluarga pelumba itu di Dungun, hari ini.
Menurutnya, pencapaian pelumba berusia 29 tahun itu sentiasa dinantikan, khususnya oleh rakyat di negeri ini, selain diharapkan memberi semangat kepada anak-anak muda untuk mencontohi perjuangan Azizulhasni.
Iklan
“Kisah ini adalah kisah kejayaan seorang anak Terengganu untuk mencipta sejarah yang tidak pernah terlintas di fikiran kita semua, dan tahniah diucapkan kepadanya.
“Sebagai kerajaan negeri yang sentiasa mengiktiraf kejayaan mengharumkan nama Terengganu, semestinya ada pengumuman istimewa buat Azizulhasni dalam masa terdekat,” ujar Ahmad Razif.
Arahan juga, katanya, telah diberikan kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) untuk mengadakan sambutan besar-besaran menyambut kepulangan Azizulhasni ke negeri ini pada Rabu ini.
Dalam pada itu, ayah kepada Azizulhasni, Awang @ Muda Embong, 68, melahirkan rasa bersyukur dengan kejayaan anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik itu.
Menyifatkan Azizulhasni sebagai seorang yang tidak kenal erti mengalah dan sentiasa bersemangat tinggi, Awang turut gembira pencapaian anaknya itu mendapat penghargaan daripada kerajaan negeri dan pemimpin nombor satu negara.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Besar yang sudi memanggil saya sekeluarga ke perjumpaan ini serta seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa berdoa dan menyokong kerjaya Azizulhasni.
“Saya tidak sabar menanti kepulangannya minggu ini dan bersama-sama meraikan kejayaan bergelar juara dunia itu,” tambah Awang.
Must-Watch Video