HOKI
Piala Sultan Azlan Shah: Aiman buru seberapa banyak gol
Penyerang hoki negara, Nik Mohammad Aiman Nik Rozemi, meletakkan sasaran peribadi mahu meledak jaringan untuk membantu skuad negara meraih keputusan positif dalam Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah, 29 April hingga 6 Mei ini.
Gagal menghasilkan gol dalam kejohanan tahun lalu, pemain berusia 21 tahun itu kini bersaing merebut tempat dalam skuad 18 pemain ke kejohanan kali ini.
Aiman bertekad mengulangi aksi cemerlangnya meledak lima gol ketika beraksi dalam pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh, bulan lalu.
Iklan
"Pada tahun lepas, saya tidak menjaringkan gol, jadi sasaran saya adalah untuk menjaringkan seberapa banyak gol dalam kejohanan ini," katanya.
Sebagai persiapan untuk kejohanan itu, skuad negara akan mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang New Zealand pada Ahad dan Isnin ini.
Sementara itu, pemain senior negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, mengharapkan dua aksi itu menjadi persiapan terbaik sebelum menghadapi kempen Piala Sultan Azlan Shah.
"Kami mahu lihat persefahaman pemain selepas beberapa bulan tidak beraksi bersama. Ada sesetengah pemain mengalami kecederaan. Malah, ketika beraksi di Dhaka pun, kami tidak beraksi dengan semua pemain utama," katanya.
Must-Watch Video