Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menepati statusnya sebagai The Pocket Rocketwomen selepas sekali lagi menggondol pingat emas dalam siri pertama Kejohanan Trek ASEAN Piala Presiden 2025 untuk permulaan tahun baru yang sempurna.

Tetapi malang sekali apabila barisan pelumba lelaki gagal untuk merangkul kejuaraan keirin lelaki di Velodrom Nasional Malaysia, Negeri Sembilan, hari ini.

Selepas menjuarai saingan pecut wanita elit, kali ini Nurul Izzah tiada masalah untuk merangkul emas dalam acara kegemarannya, keirin wanita elit, di mana dia menyifatkan ia sebagai permulaan sempurna musim 2025.

Nurul Izzah yang banyak menghabiskan masa di posisi belakang berjaya melakukan pecutan pada saat akhir, secara tidak langsung terlebih dahulu melintasi garisan penamat.

"Perlumbaan ini agak taktikal. Saya diundi dalam posisi terakhir jadi agak sukar untuk ke depan.

"Setiap pelumba ada perancangan tersendiri, semua peserta ingin mentang.

"Tapi saya dapat tanganinya dengan melihat pergerakan lawan. Saya boleh gerak dulu tapi ia agak sukar kerana akan dikejar, sekali gus menyebabkan saya keletihan.

"Ini satu pengalaman yang baik untuk saya capai sasaran seterusnya," katanya.

Sementara itu, cerita berbeza buat kategori keirin lelaki apabila tiada nama Ridwan Sahrom dalam final selepas dia mengakhir pertandingan di kedudukan ketujuh keseluruhan.

Namun, nama seperti Fadhil Zonis dan Akmal Nazimi menempatkan diri di kedudukan kedua dan ketiga dalam final apabila pelumba dari Korea Selatan, Kang Seo-jun, berjaya muncul juara.

"Saya seharusnya membuka langkah terlebih dahulu, tak boleh tunggu pelumba lain.





"Tetapi saya berpuas hati juga dengan prestasi dalam pusingan pertama ini," katanya pula.

Sementara itu, Khairunnisa Aleeya Saifulnizam mencetuskan kejutan dalam scratch 10 kilometer wanita elit.

Dia jauh meninggalkan peserta lain dalam baki empat pusingan terakhir sebelum menamatkan perlumbaan dengan catatan 13 minit 39.75 saat.

"Masing-masing ingin mencuba, jadi saya cuba dan walaupun menyedari ada pihak lawan yang mengejar.

"Walaupun nak sampai (garis penamat) tapi kumpulan makin jauh -- tinggal 10 pusingan lagi -- jadi saya teruskan juga (kayuhan).

"Selepas ini saingan mungkin akan lagi mencabar. Dengan kemenangan ini, lawan mula memberi perhatian jadi saya perlu bekerja lebih keras lagi," katanya.