SUKAN LAIN
Pertandingan waktu malam tarikan baru Larian Jambatan Sultan Mahmud
Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) edisi tahun ini akan menampilkan kelainan dengan larian pada waktu malam untuk dua acara utama, iaitu 42km dan 21km, bermula di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, 23 September depan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat, berkata perubahan itu dilakukan bertujuan menarik lebih banyak penyertaan selain mengelak cuaca panas jika diadakan pada sebelah siang.
Menurutnya, peserta dalam dua acara utama itu akan dilepaskan jam 12.01 tengah malam manakala tiga lagi acara, iaitu 12km, 5km dan fun run 3km akan dijalankan seperti biasa bermula jam 7.00 pagi dan tamat kira-kira tiga jam kemudian.
Iklan
“Kelainan ini sekurang-kurangnya memberi keselesaan kepada peserta untuk menamatkan larian yang mengambil masa hampir enam jam itu.
“Kami menyasarkan penyertaan 50,000 peserta untuk edisi kali ini, termasuk 5,000 dari luar Terengganu,” katanya.
Kejohanan itu mengekalkan jumlah hadiah kemenangan keseluruhan RM300,000 seperti tahun lalu.
Tambah Rozi lagi, LAJSM 2017 akan dianjurkan Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) dan diberi peranan untuk menaikkan prestij LAJSM setaraf dengan Larian Jambatan Pulau Pinang dan KL Marathon.
Rozi ditemui selepas Majlis Pra-Pelancaran LAJSM 2017 di Wisma Darul Iman, semalam, yang dihadiri Presiden POAT, Datuk Wan Hisham Wan Salleh, dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu.
Must-Watch Video