"Sasaran tiga emas kekal," demikian komen Pengurus Besar, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Osman Nok, selepas Mohd Al-Jufferi Jamari, mengetuai senarai pesilat negara yang layak ke separuh akhir acara tanding Sukan Asia Indonesia di Padepokan Pencak Silat, Taman Mini Indonesia Indah, Jakarta, hari ini.
Kem negara bangkit daripada mimpi ngeri akibat kekalahan mengejut juara dunia, Siti Rahmah Mohamed Nasir, dalam suku akhir.
Al-Jufferi berjaya melayakkan diri ke separuh akhir walaupun menerima tentangan pada hujung saingan kategori Putra D bawah 70kg.
Juara dunia tiga kali itu menewaskan pesilat Iran, Akbar Kiyaniyah, 5-0 dalam suku akhir.
"Kita kira satu pingat emas tiada (terlepas) tetapi kami melihat pesilat-pesilat kami masih mampu bersaing hingga ke final. Kami menjangkakan tiga pesilat kami akan mara ke final," kata Osman.
Selain Siti Rahmah, pesilat kategori Putra D, Mohamad Zarish Hakim Shukor (bawah 65kg), juga tersingkir dalam suku akhir.
Dia yang menggantikan jaguh utama, Razak Ghazali yang cedera, tewas kepada wakil tuan rumah, Iqbal Candra Pratama, 5-0.
"Bersedia daripada segi kecergasaan dan kekuatan. Saya tahu kelas D ini kekuatannya jauh berbeza daripada kelas C.
"Tetapi saya perlu hadapi. Saya pegang kata-kata Razak tetapi saya kecewa tidak dapat melakukannya.
"Dia pesan teruskan agar ke peringkat akhir. Saya memohon kepada Razak keran tidak dapat ke peringkat akhir," kata Zarish.
Namun, situasi itu tidak mengubah sasaran tiga emas daripada PESAKA.
Skuad negara masih berada di landasan tepat, apatah lagi acara seni belum dipertandingkan.
Sukan Asia
Pencak silat: "Sasaran tiga emas kekal"
Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena