Atlet judo Iraq telah diuji positif menggunakan bahan terlarang menggunakan jenis steroid anabolik di Sukan Olimpik Paris, Agensi Pengujian Antarabangsa (ITA) mengumumkannya semalam -- sekaligus menjadi ujian positif doping pertama di temasya itu.

ITA berkata sampel yang dikumpul daripada Sajjad Sehen telah 'mengembalikan penemuan bahan terlarang melibatkan metandienone dan boldenone'.

Kedua-dua ubat itu diharamkan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Sampel itu dikumpul oleh ITA semasa kawalan anti-doping di luar persaingan pada hari Selasa di Paris, dengan keputusan dilaporkan oleh makmal WADA di Paris pada hari Khamis.

Atlet yang pertama kali membuat penampilan di Sukan Olimpik berusia 28 tahun itu dijangka bertanding minggu depan dalam kelas 81 kilogram lelaki.

Kenyataan ITA berkata atlet itu telah digantung sementara sehingga penyelesaian perkara itu, selaras dengan peraturan anti-doping.

“Ini bermakna atlet itu digantung daripada bertanding, berlatih, melatih atau menyertai sebarang aktiviti semasa Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya.

"Atlet mempunyai hak untuk mencabar pengenaan penggantungan sementara di hadapan Mahkamah Timbang Tara Sukan - Bahagian Anti-Doping."

Sehen juga mempunyai hak untuk meminta analisis sampel B.

ITA menguruskan program anti-doping bebas untuk Sukan Olimpik di Paris bagi pihak Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.