30 atlet luar biasa negara, yang bakal memulakan saingan Sukan Paralimpik Paris 2024 esok, menerima suntikan moral apabila Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, menjanjikan imbuhan dalam bentuk kereta buat pemenang pingat emas.

Bagaimanapun, ia bersyarat mengikut terma pengeluar berkenaan serta harus dipersetujui oleh Kementerian Kewangan melibatkan pelepasan cukai.

Inisiatif terbaru Megat D Shahriman itu dilihat seiring dengan hasrat murni untuk terus memperkasakan sukan paralimpik negara di pentas tertinggi dunia itu.

Perkembangan terkini itu berupaya menyemarakkan api perjuanggan kontinjen negara untuk mencapai sasaran empat kilauan emas dalam edisi kali ini.

Difahamkan, Megat D Shahriman baru memeterai perjanjian eksklusif bersama pengeluar kereta terkemuka itu untuk dijadikan hadiah buat pemenang pingat emas negara.

Rundingan itu tertakluk kepada persetujuan Kementerian Kewangan yang akan diputuskan kelak.

Apa yang pasti, Megat D Shahriman mahu layanan setimpal diberikan terhadap atlet paralimpik sepertimana yang diterima oleh Olimpian negara.

"Bagi pihak MPM, inisiatif yang kami cuba dapatkan adalah setakat mana yang mampu untuk didapatkan," katanya seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Karl Nunis.

"Syarikat swasta semasa Sukan Olimpik lalu menjanjikan kereta hanya untuk pemenang emas pertama tetapi apabila pemenang gangsa juga mendapatkan kereta, apatah lagi, Insya-Allah, jika atlet para mendapatkan emas, sepatutnya ia dua-tiga kali lebih bagus.

"Itulah secara normalnya mana-mana rakyat akan menilai.

"Saya tidak mahu menyentuh hal itu kerana ia penaja yang mahu berikan. Saya fikir, jika pihak penaja ingin memberi kereta mereka, atau apa jua, mereka patut berikan kepada juara, kepada atlet yang membawa emas kepada negara.

"Jika anda mahu menjadikan jenama anda nombor satu, anda perlu memberikannya kepada atlet yang menang nombor satu. Itu pandangan peribadi saya," katanya.