Skip to main content

Sukan SEA

Olahraga: Muthu akur permintaan Zaidatul

zaidatul.jpg
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk S.M. Muthu, akur dengan permintaan atlet olahraga negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, yang mengambil keputusan drastik menarik diri daripada dua acara utama Sukan SEA Filipina meskipun telah membelanjakan wang yang banyak untuk ratu pecut itu. 

Zaidatul Husniah sebelum ini berkelana ke Amerika Syarikat selama tujuh bulan untuk persiapan menghadapi temasya Manila 2019.

Bagaimanapun, ia satu tamparan buat kem olahraga setelah atlet itu bertekad untuk menarik diri daripada acara pecut 200 meter dan 4x100m dalam Sukan SEA nanti.

Muthu yang telah pun menghubungi Zaidatul Husniah secara peribadi bersama jurulatihnya, M. Balamurugan, menerima alasan dikemukakan atlet itu berasas memandangkan jadual untuk acara 100m dan 200m adalah terlalu padat dan mungkin akan mendatangkan kecederaan buatnya.

"Jika dia mengalami kecederaan dalam 200m, ia akan menggugat persiapan menghadapi 100m kerana Zaidatul sendiri yakin mampu mencipta kejayaan dalam acara ini," katanya.

Chef-de-Mission Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, pula berpandangan penarikan diri Zaidatul Husniah merugikan Malaysia memandangkan dua tahun lalu di Kuala Lumpur, atlet berusia 26 itu meraih perak bagi acara 100m.

Di samping itu, Zaidatul Husniah juga membentuk gandingan ampuh bersama Siti Fatimah Mohammad, S. Komalam Shally dan Nurul Faezah Asma sebagai pemegang rekod kebangsaan acara 100m berganti-ganti dengan catatan 45.18 saat.

"Kita harus memahami dan memaklumkan Malaysia bakal kehilangan acara yang mampu meraih emas dalam Sukan SEA. Saya mengakui Zaidatul adalah salah seorang prospek emas negara dan saya akan mendengar perancangan mereka di Manila nanti," kata Megat Zulkarnain.

Advertisement

Must Watch Video