NSL
NSL: KL Wildcats tempah temu janji bersama Johor Jewels
KL WILDCATS 51-50 PUTRAJAYA DYNAMITES
KL Wildcats bakal membuat perhitungan bersama juara bertahan, Johor Jewels di pentas final selepas berjaya mengatasi cabaran Putrajaya Dynamites atau dalam erti kata lain, ulangan final edisi 2022.
Kejayaan KL ini menyaksikan Putrajaya gagal mengulangi keputusan ketika peringkat kumpulan di mana mereka menewaskan naib juara tahun lalu itu dengan kemenangan yang turut dihiasi kebangkitan epik 54 berbalas 53.
Iklan
Langkah kanan buat Putrajaya pada suku pertama perlawanan, bahagian serangan yang diterajui Maisarah Affandi sebagai 'Goal Shooter' (GS) memastikan kelebihan buat mereka dengan mendahului 13-9 biarpun KL dengan catatan 100 peratus ketepatan gol.
Bersambung di suku kedua, pertarungan bertambah sengit tetapi Putrajaya masih mengekalkan rentak untuk berada 25-20 di depan menuju separuh masa.
Jurang lima mata itu turut dikekalkan Putrajaya sehingga di suku ketiga dengan pungutan mata 39-34 dengan kelebihan berjumlah 56 peratus penguasaan bola memihak mereka.
Berbaki 2 minit saingan, buat kali pertama sepanjang aksi separuh akhir itu, KL memimpin perlawanan dengan mata 49-48.
KL melengkapkan kebangkitan luar biasa mereka ke atas Putrajaya di suku terakhir perlawanan, sekaligus meleburkan hasrat Putrajaya untuk ke pentas final dalam penampilan sulung mereka bagi saingan Netball Super League (NSL) dengan keputusan akhir 51-50.
Aksi final bakal diadakan pada esok di Stadium Juara, Bukit Kiara pada jam 4.00 petang juga secara siaran langsung di saluran 801 Astro Arena.
Must-Watch Video