Skip to main content

Sukan Lain

Nauraj bakal buat penampilan sulung di Liga Emas

nauraj.jpg
Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh, bakal mencipta sejarah menjadi atlet pertama Malaysia membuat penampilan dalam Liga Emas Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) apabila ditawarkan beraksi di Kawasaki, Jepun, bulan depan.

Juara bertahan Sukan SEA  ini ditawarkan beraksi dalam Liga Emas selepas melepasi 2.29 meter yang juga rekod kebangsaan tahun lalu.

Aksi konsisten, termasuk melakukan 2.25m dalam kem latihan dan kejohanan di Australia, mengukuhkan lagi peluang atlet kelahiran Johor ini untuk membuat penampilan sulung Malaysia dalam Liga Emas.

"Ini merupakan salah satu impian saya untuk beraksi dalam satu kejohanan jemputan IAAF sebesar ini. 

"Saya mahu beraksi dengan baik di sana dan bukan sekadar menyertai kejohanan itu. Saya mahu bersaing dalam kalangan atlet terbaik dunia," katanya.

Nauraj akan berlatih di Malaysia sebelum berlepas ke Jepun, 30 April ini.

Dia akan menyertai Grand Prix Shizuka terlebih dulu sebelum mencabar Liga Emas pada 21 Mei depan. 

Liga Emas adalah kejohanan kedua terbaik dalam kalendar IAAF selepas Liga Berlian yang turut membabitkan jaguh dunia seperti Usain Bolt.

Advertisement

Must Watch Video