Skip to main content

Sukan Lain

MSN ambil inisiatif banteras wabak denggi

310117-denggi.jpg
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, optimis gerak kerja bersepadu yang diatur secara serentak di kawasan Kompleks Sukan Negara, terutama di sekitar MSN Bukit Jalil, mampu membendung penularan wabak denggi yang melanda kawasan itu. 

Semua kakitangan MSN mengambil inisiatif mengadakan gotong-royong secara serentak di kawasan yang terbahagi kepada lima zon meliputi bangunan pentadbiran MSN, landskap bukit, trek, gimnasium dan juga lapang sasar menembak. 

Menurut Shapawi, kegiatan pembersihan seperti itu telah pun dilaksanakan sejak awal lagi tetapi tidak secara serentak, termasuk penglibatan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Malah, kesemua atlet buat masa sekarang juga diarahkan untuk meninggalkan kawasan kediaman buat seketika pada Rabu lalu untuk proses semburan asap secara menyeluruh. 

"Dari sudut MSN, telah pun kami kawal, di samping Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta kakitangan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ). 

"Saya difahamkan pihak Bandar Sukan Kuala Lumpur juga akan menggerakkan gerak kerja mereka hari ini," katanya. 

Setakat ini, empat kes terbaru denggi dilaporkan melibatkan seorang atlet bola jaring, berbasikal lelaki, pemain badminton SSBJ dan juga jurulatih olahraga. 

Kebimbangan itu wujud selepas berlakunya kes kematian membabitkan seorang kakitangan MSN. 

"Apabila mereka mengalami simptom denggi, ada yang balik mendapatkan rawatan berdekatan dengan rumah serta di bawah pengawasan keluarga masing-masing. 

"Ada yang dirawat di Pahang dan Pulau Pinang dan kami sedang selaraskan maklumat-maklumat ini."
 

Advertisement

Must Watch Video