Skip to main content

Sukan

MSDEAF bangga pengiktirafan Aungerah Sukan Sukan Negara 2024

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

msdeaf.jpg
Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) berbangga dengan kejayaan menerima Anugerah Khas 2024 ketika Majlis Anugerah Sukan Negara yang berlangsung di Subang Jaya, semalam.

Ia sekali gus, membuktikan persatuan sukan orang kurang upaya juga boleh berdaya saing sekiranya diuruskan dengan baik dan kejayaan ini merupakan satu langkah awal buat MSDeaf untuk menjadi penanda aras buat persatuan-persatuan sukan yang lain.

MSDeaf juga menganggap kejayaan ini mewakili komuniti orang pekak dan melihat kehadiran penasihat daripada syarikat korporat sudah mula menunjukkan hasil positif dengan gerak kerja dan tatakelola yang diterapkan dalam persatuan.

Presiden MSDeaf, Ong Shin Reunn, bersyukur atas penghormatan yang diberikan dan berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dilihat membantu meningkatkan tahap sukan ini.

"Saya bersyukur kerana akhirnya MSDeaf berhasil mendapat salah satu anugerah berprestij dalam Anugerah Sukan Negara 2024 ini sekali gus, membuktikan kerajaan Malaysia mengiktiraf usaha-usaha yang telah dilaksanakan kami bagi memartabatkan sukan dan atlet-atlet pekak negara.




"Kami juga berharap agar pembangunan sukan warga pekak negara dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan konsisten merangkumi pembangunan atlet dari peringkat akar umbi serta memperkasa program atlet podium pekak yang mampu memenangi pingat untuk negara di peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu Penasihat MSDeaf, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai, melihat anugerah yang diterima ini adalah faktor daripada sudut pemasaran yang diberikan pendekatan oleh persatuan bagi memastikan sukan ini lebih dikenali dan membuka peluang buat penaja untuk menjadi rakan kerjasama.

"Anugerah ini boleh dilihat sebagai kesan dari tindakan MSDeaf membawa tadbir urus korporat, pengurusan kewangan dan daya tahan kepada pihak persatuan untuk tidak mengharapkan dana kerajaan semata-mata seperti sebelum ini.

"Sudah sampai masa untuk kita menaikkan taraf kehidupan para atlet pekak ini kerana kita tahu cabaran mereka lebih daripada atlet-atlet normal," jelasnya.

Anugerah ini dilihat sebagai pemangkin buat para atlet untuk mengharungi tiga kejohanan utama sukan pekak bermula dengan Sukan Pekak Asia Tenggara di Jakarta pada Ogos sebelum bersaing dalam Sukan Orang Pekak Malaysia di Kuching pada Oktober dan menutup tahun 2025 dengan kejohanan Sukan Deaflympic Tokyo pada November.
 

Advertisement

Must Watch Video