Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) telah menerima laporan analisis dari Makmal Anti-Doping, Doha, Qatar (ADLQ) pada 28 Ogos 2024 bagi sampel yang diambil daripada seorang atlet bina badan semasa Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan Ke-53 @ Mr. Malaysia 2024 yang telah diadakan pada 3 hingga 4 Ogos 2024 di The Thistle Hotel, Johor Baru, Johor.

Proses pengujian kawalan doping dan analisis sampel ini adalah sah dan memenuhi Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021 serta piawaian antarabangsa.

Keputusan analisis menunjukkan kehadiran bahan terlarang dalam sampel atlet termasuk Stanozolol dan metabolitnya seperti Stanozolol‐1´N‐glucuronide dan 16β-Hydroxy-stanozolol, yang tergolong dalam kategori S1.1 - Anabolic Androgenic Steroids (AAS) berdasarkan Senarai Larangan (The Prohibited List 2024) Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Atlet yang terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan analisis tersebut dan diberi peluang untuk memohon analisis ke atas sampel B jika diperlukan. Atlet tersebut juga telah dikenakan penggantungan sementara daripada menyertai sebarang kejohanan atau pertandingan sehingga proses pendengaran selesai dan keputusan muktamad diumumkan.

Proses pengendalian kes ini akan dijalankan secara telus mengikut Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021 dan International Standard for Results Management (ISRM) yang berkuat kuasa, termasuk hak atlet untuk melalui proses pendengaran yang adil dan berlandaskan prinsip yang termaktub dalam Kod Anti-Doping Dunia 2021.