Skip to main content

Sukan

MPM sambut baik nasihat Ketua Pesuruhjaya SPRM

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mpm.jpg
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YBhg. Tan Sri Azam Baki, memberikan pandangan berhubung tadbir urus dan insentif atlet Para sempena Persidangan Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Peringkat Kebangsaan Ke-4 Tahun 2025.

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyambut baik nasihat yang diberikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM tersebut. Presiden MPM, YH Dato’ Sri Megat D. Shahriman, juga telah berhubung secara langsung dengan beliau bagi memberikan penjelasan lanjut isu ini. Presiden MPM turut menegaskan bahawa MPM akan terus berpegang teguh kepada Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang telah ditandatangani bersama 23 Persatuan Sukan Para Kebangsaan pada 25 November 2021.

Seksyen 9A Akta Pembangunan Sukan 1997 (Pindaan 2018) menetapkan MPM sebagai Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan (National Paralympic Committee – NPC) terunggul bagi Malaysia.

Manakala, International Paralympic Committee (IPC) mengiktirafkan MPM sebagai ahli mewakili Malaysia. Mengikut akta tersebut, MPM bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyertaan Malaysia ke temasya Sukan Paralimpik, Sukan Para Asia dan ASEAN Para Games. Penyertaan dalam temasya pelbagai sukan (multi-sports) ini adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh pihak penganjur, dan MPM sebagai ahli gabungan wajib mematuhinya.

MPM sentiasa bekerjasama rapat dengan pemegang taruh utama bagi pembangunan sukan – iaitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta agensi-agensi berkaitan seperti Majlis Sukan Negara (MSN). Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab, MPM mematuhi dasar-dasar kerajaan dan bekerjasama secara strategik bagi memastikan kejayaan sukan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Sejak tahun 2019, MPM telah bekerjasama dengan pelbagai penaja bagi menambah baik ganjaran dan insentif untuk atlet yang bertanding serta memenangi pingat di peringkat antarabangsa. MPM menghormati hasrat dan hak semua penaja – sama ada penaja utama, penaja kecil, penaja berbentuk kewangan atau “in-kind”, termasuk penaja yang memberi sumbangan buat kali pertama – dan memastikan semua sumbangan diurus secara telus, profesional dan berhemah.

Semua obligasi kontrak diuruskan secara teratur dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Dalam proses mengumpulkan penajaan atau ganjaran, ada kalanya berlaku perkara di luar jangka seperti penarikan penajaan. Dalam keadaan sebegini, MPM akan memaklumkan sebarang perubahan kepada semua pihak berkepentingan dengan penuh ketelusan dan menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka.

MPM menyeru semua atlet Para supaya menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan atau aduan. Hak kebebasan bersuara perlu dihormati, tetapi ia mestilah dilaksanakan mengikut prosedur yang sah, perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Amalan demokrasi yang sebenar menuntut semua pihak mendengar secara adil, mendapatkan fakta yang sahih dan mengelakkan sebarang keputusan yang berat sebelah atau tidak berasaskan maklumat yang tepat. Pendekatan ini penting untuk mengelakkan kekeliruan dan penyebaran khabar angin yang tidak benar.

MPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberikan pandangan serta kritikan secara membina bagi memperkukuh organisasi dan ekosistem sukan Para negara.

Walau bagaimanapun, kritikan mestilah bebas daripada unsur perkauman dan penyebaran maklumat palsu atau fitnah, kerana perkara tersebut boleh menjejaskan perpaduan dan memberi kesan negatif terhadap pembangunan sukan negara.

MPM juga mengucapkan terima kasih kepada KBS kerana berkongsi template penajaan Road To Gold (RTG), yang kini akan dijadikan salah satu rujukan tambahan kepada template sedia ada.

Pada 20 September 2025, YB Menteri KBS telah menghubungi Presiden MPM untuk membincangkan isu ini dan beberapa ketetapan telah dicapai. Dakwaan yang disebarkan oleh beberapa portal media mengenai “penggantungan seumur hidup” adalah tidak benar, dan MPM menafikan sekeras-kerasnya.

Setiap organisasi perlu mempunyai prosedur bertulis bagi menjalankan siasatan dalaman, kerana ia penting untuk melindungi hak dan kepentingan semua pihak sekiranya berlaku sebarang pertikaian atau insiden.

MPM mempunyai prosedur bertulis bagi siasatan dalaman, dan sebarang tindakan hanya boleh diambil setelah siasatan dalaman selesai dijalankan (jika perlu). Oleh itu, pada masa ini tiada sebarang penggantungan dikenakan.

MPM akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada atlet yang terlibat berhubung penggunaan perkataan “scam” melalui persatuan sukan kebangsaan atlet berkenaan.
Supplement

Tenaga Untuk Kekal Sihat

Bantu tingkatkan daya tahan & fokus supaya sentiasa berada di prestasi terbaik.


Beli Sekarang

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video