Skip to main content

Permotoran

MotoGP: Mampukah Bagnaia ulangi kemenangan 2024 di Sepang?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

bagnaiamalaysiangp.jpeg
Pasukan Ducati Lenovo tetap menjanjikan aksi perlumbaan terbaik daripada dua pelumbanya menjelang Grand Prix Malaysia yang bakal berlangsung daripada 24 hingga 26 Oktober ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) walaupun tidak ada kelibat juara dunia 2025, Marc Marquez yang masih perlu menjalani proses pemulihan.

Sebagai venue terakhir sebelum MotoGP kembali ke benua Eropah selepas ini, Sepang memiliki signifikan yang tersendiri buat pasukan yang telah melahirkan beberapa pelumbanya selaku juara dunia MotoGP itu.

Malah SIC telah merakamkan banyak detik kemenangan pasukan Ducati itu yang menjadi antara litar yang mampu membolehkan jentera mereka bekerja dengan cemerlang.

Secara keseluruhan SIC merekodkan lapan kemenangan bergaya pasukan Ducati di litar tersebut dengan Lorus Capirossi menjadi penyumbang awal ketika dia muncul juara pada GP Malaysia 2005.

Ia kemudianya disusuli dengan kejayaan luar biasa Casey Stonner dua tahun selepas itu iaitu pada 2007 sebelum mengulangi kejayaan itu pada 2009. 

Selepas itu Ducati agak lama kehausan kemenangan di Sepang sehinggalah munculnya Andrea Dovisioso yang kembali melakarkan kemenangan dua tahun berturut-turut buat pasukan Itali itu iaitu pada 2016 dan 2017.

Francesco Bagnaia turut memberikan kemenangan sebanyak dua kali buat pasukanya itu ketika beliau berada pada prestasi kemuncak iaitu pada 2022 dan juga 2024.

Ducati juga pernah mengecapi kejayaan di Sepang dua tahun lalu iaitu pada 2023 menerusi Enea Bastianini.

Menurut Bagnaia pada Rabu, GP Malaysia 2025 adalah medan terbaik beliau untuk bangkit selepas mengalami nasib malang di GP Australia baru-baru ini.

Ketika dia dan pasukanya masih bergelut untuk memahami masalah sebenar jentera yang sedang digunakan ketika ini, Sepang mungkin mampu menjadi medan untuk membolehkan mereka mencari jalan untuk mengatasi masalah tersebut dengan hasil yang lebih baik.

Malah tidak mustahil untuk dia kembali mengulangi kemenangan yang dilakar olehnya pada edisi penganjuran tahun lalu dalam aksi kali ini.

Sementara itu bagi Michele Pirro pula, pengalamanya ketika beberapa kali melakukan ujian terhadap jentera Desmosedici GP membuatkanya lebih yakin untuk beraksi Ahad ini.

Pirro menyifatkan SIC sebagai litar yang sangat memerlukan komitmen fizikal dan menuntut kerja keras dari setiap sudut.

Justeru cabaran yang dijanjikan oleh litar Antarabangsa Sepang bukan sebarangan kepada pelumba, malah juara dunia 2025, Marc Marquez sendiri tidak begitu dominan ketika beraksi di SIC sepanjang kariernya setakat ini.

 
Motogp

Arai Helmet 100% Original

Arai Quantic Abstract menawarkan perlindungan penuh, kestabilan aerodinamik & pengudaraan optimum — kombinasi sempurna untuk setiap penunggang.


Dapatkan Sekarang

Advertisement

Must Watch Video