Skip to main content

Sukan SEA

Mohammad Fuad fokus kekal momentum hadapi Sukan SEA

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mohammad-fuad-hashim.jpg
Penunggang kuda lasak negara, Mohammad Fuad Hashim, yakin mampu menyinar dalam Sukan SEA 2017, Ogos ini, sambil menyifatkan prestasinya kini pada tahap terbaik menjelang temasya dwi-tahunan itu.

Menurutnya, latihan intensif sejak Januari lalu mula menampakkan hasil, terutama dalam membentuk keserasian bersama kuda kesayangannya, Mora Makaka.

Meskipun masih berbaki satu perlumbaan kelayakan Sukan SEA pada Mei, Mohammad Fuad, 27, tidak akan menyertainya kerana sudah mengumpul merit tertinggi untuk menempatkan diri dalam skuad negara.

“Mata dikumpul sudah meyakinkan saya untuk terus berada dalam senarai (Sukan SEA) dan hanya akan menjalani latihan seperti biasa.

“Adalah penting untuk mengelakkan diri daripada mengalami kecederaan serta menjaga kesihatan kuda sebelum memasuki kem latihan terakhir skuad negara,” ujarnya.

Mohamad Fuad berkata demikian selepas mempertahankan kejuaraan acara 80km individu dalam Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Setiu.

Mewakili State of Terengganu Endurance Team (STET), Mohammad Fuad nyata dalam kelas tersendiri dengan catatan masa 3 jam 43 minit 38 saat dengan purata kelajuan 21.464km/j, sekaligus membawa pulang wang tunai RM10,000 dan piala iringan.

Rakan sepasukannya, Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Sa’ari, di kedudukan kedua (3:55:38) manakala Mohd Rusly Ngah dari Selangor Turf Club (STC)  di tempat ketiga (4:19:07).

Masing-masing terpaksa berpuas hati dengan hadiah wang RM7,500 dan RM5,000 serta piala iringan.
 

Advertisement

Must Watch Video