Skip to main content

Sukan Lain

Manshahar pertahan tindakan KOM

image_2020-12-14_193547.png
Ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abd Jalil, mempertahankan tindakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak mengiktiraf pencapaian atlet baling tukul besi, Grace Wong, memecah rekod kebangsaan.

Pemenang pingat perak Sukan SEA 2019 itu melakukan 62.61 meter ketika menjuarai aksi simulasi di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Sabtu lalu.

KOM awal-awal lagi memaklumkan sebarang catatan aksi simulasi tidak akan diiktiraf sebagai rekod kebangsaan atau kelayakan Sukan Olimpik Tokyo.

Ia susulan ketiadaan pegawai bertauliah yang mencukupi memandangkan MSN mengehadkan kemasukan individu luar bagi mengawal penularan pandemik Covid-19.

Satu lagi faktor ialah kerana acara baling tukul besi wanita hanya membabitkan dua atlet.

"Ia merupakan simulasi dan bukanlah kejohanan. Jumlah peserta tidak mencukupi bagi dijadikan sebagai pertandingan di samping terdapat beberapa aspek tidak mencukupi," kata Manshahar.

"Buat masa ini, jika diberikan lebih banyak pendedahan kepada Grace ia akan dijadikan sebagai pelantar untuk merebut tempat ke Sukan Olimpik," katanya lagi

Ini kali kedua Grace mengatasi rekod kebangsaan miliknya, 60.99m dalam tempoh 40 hari.

KOM merancang penganjuran Terbuka Malaysia, bulan depan yang bakal mematuhi peraturan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) untuk atlet layak ke Sukan Olimpik Tokyo atau memecah rekod kebangsaan.

Advertisement

Must Watch Video