Kapten hoki negara, Sukri Mutalib, menghormati Jepun yang mempamerkan peningkatan menakjubkan apabila turut menjuarai pusingan kedua Liga Hoki Dunia.
Kedua-dua pasukan akan berentap dalam aksi sulung Piala Sultan Azlan Shah 2017, esok.
Skuad kendalian Stephen Van Huizen itu menjuarai saingan di Dhaka, Bangladesh, sementara Jepun di Trinidad & Tobago.
"Perlawanan ini akan berlangsung sengit kerana kami sering bertemu dalam perlawanan ujian dan ketika melakukan jelajah Jepun.
"Pada masa itu, tidak banyak tekanan ke atas Jepun memandangkan mereka telah layak ke Sukan Olimpik Rio, lalu melakukan eksperimen ketika menentang kami," kata Van Huizen pula.
Masing-masing dilihat memiliki keupayaan hampir setaraf meskipun rekod pertemuan memihak kepada Malaysia, termasuk ketika melakar kemenangan besar 7-2 dalam Trofi Juara-juara Asia 2016.
"Peluang adalah 50-50 kerana prestasi Jepun semakin meningkat.
"Tetapi, kami mempunyai kelebihan di tempat sendiri sungguhpun masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan sendiri.
"Kami akan mengulang kaji corak permainan Jepun dalam pertemuan kami yang terdahulu.
"Saya yakin kami akan mencapai kemenangan dalam perlawanan pertama ini," kata Sukri.
Jepun hanya menukar seorang pemain berbanding ketika di Trinidad & Tobago.
Mereka akan turun sebagai underdog, namun mempunyai perancangan khas untuk mencipta kejutan.
"Saya menghormati Malaysia sebagai tuan rumah yang menghuni ranking dunia lebih baik.
"Kami sudah membuat persiapan rapi sejak awal tahun dan segala-galanya berjalan lancar.
"Saya harap kami dapat mencipta kejutan," ujar ketua pasukan Jepun, Manabu Yamashita.
Sementara itu, pengarah kejohanan, Joshua Burt, berpuas hati dan memberi lampu hijau dengan permukaan padang yang baru ditukar oleh pihak penganjur akhir tahun lalu.
"Air cepat kering di atas permukaan padang baru ini dan ia akan membantu kerana hujan kerap turun pada sebelah petang.
"Pemain-pemain juga gembira dengan keadaannya," katanya.
Astro Arena
Fri Apr 28 2017