Skip to main content

Hoki

Malaysia ledak lapan gol atasi New Zealand

hoki.jpg
Skuad hoki negara mencatatkan kemenangan besar 8-2 ke atas New Zealand dalam perlawanan persahabatan pertama sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah, hari ini.

The Malaysian Hockey Tigers membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi gol padang Aiman Nik Rosemi.

Malaysia menggandakan jaringan tiga minit kemudian menerusi Razie Rahim yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Tersentak, New Zealand bangkit mengurangkan defisit seminit kemudian menerusi gol George Muir.

Enggan membenarkan pasukan lawan bangkit, Malaysia meledak dua gol pantas pada minit ke-28 dan 29 menerusi Ramadan Rosli (gol padang) dan Faizal Saari (sudut penalti).

Memasuki babak kedua, Malaysia terus menembusi gawang New Zealand dengan gol kelima menerusi gol padang Haziq Samsul pada minit ke-37. 

Enam minit kemudian, Aiman Nik Rosemi menambah gol peribadi keduanya untuk meletakkan Malaysia mendahului 6-1.

Pukulan sudut penalti Malaysia sekali lagi membuahkan hasil kali ini menerusi Najmi Jazlan pada minit ke-45.

Tiga minit kemudian, New Zealand berjaya meledak gol kedua menerusi Dominic Newman, namun ia tidak menghalang Aiman Nik Rosemi melengkapkan hatrik seminit kemudian.

Meskipun sekadar aksi pemanas badan, namun kemenangan besar ini bakal menyuntik semangat baru  buat skuad kendalian Stephen Van Huizen, apatah lagi berdepan lawan yang menduduki ranking kelapan dunia berbanding Malaysia ke-14.

Malaysia dan New Zealand bakal turun sekali lagi dalam aksi persahabatan kedua esok.

Advertisement

Must Watch Video