Skip to main content

Advertisement

Sukan SEA

Malaysia hantar kontinjen terbesar ke Filipina

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kontinjen-mas.jpg
Kuantiti atau kualiti? Itu persoalan yang timbul selepas Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA Filipina meluluskan penyertaan terbesar kontinjen negara dengan 1,193 atlet dan pegawai sukan akan terlibat dengan temasya dwitahunan itu November depan.

Lebih memeranjatkan, jumlah itu dijangka meningkat Sabtu ini.

Malaysia akan menghantar 795 atlet dengan hampir separuh daripada mereka diletakkan dalam kategori B.

Apa yang menjadi persoalan ialah mengapa had kelayakan kategori B direndahkan kepada kedudukan ranking kelapan Asia Tenggara berbanding keenam sebelum ini.

Ia menjadi punca kemasukan beramai-ramai atlet walaupun ada persatuan tidak mempunyai liga peringkat kebangsaan.

"Peluang yang diberikan datang dengan tanggungjawb yang besar," kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria.

"Janganlah mereka seperti melepaskan batuk di tangga. Selepas dapat peluang ini, sukan itu langsung tidak dicuba untuk dihidupkan.

"Ia merangkumi perkembangan akar umbi hingga ke peringkat elit.

"Itu yang kami mahu lihat.

"Jika tidak, peluang itu tidak akan diberikan lagi," katanya.

Ia bermakna saiz kontinjen negara berkembang hampir dua kali ganda berbanding penyertaan terbesar di luar Kuala Lumpur, iaitu dalam edisi di Korat, Thailand pada 2007.

Namun, ia bukan jaminan untuk Malaysia mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang dimenangi di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Sementara itu, Norza memberikan tempoh hingga Isnin ini untuk Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) menyelesaikan denda sekitar RM4,000 kepada Persekutuan Kanu Antarabangsa.

Jika gagal, atlet mereka akan menyertai temasya itu di bawah payung MOM.

"Kami perlu menekan mereka untuk menjelaskannya secepat mungkin agar mereka layak untuk bersaing.

"Saya fikir mereka faham akan situasi itu dan perlu menyelesaikannya secepat mungkin," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video