Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: TSG lakar sejarah baru

tsg15318_1.jpg
Penantian untuk menyaksikan pasukan tempatan meraih gelaran utama dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 berakhir selepas pelumba Terenganu Cycling Team (TSG), Artem Ovechkin, mengungguli jersi kuning kategori keseluruhan, hari ini. 

Ovechkin, yang menyarung jersi kuning sejak peringkat kelima di Cameron Highlands, bertekad mempertahankan kedudukan itu menjelang peringkat akhir dari Rembau ke Dataran Merdeka, hari ini. 

Apa yang perlu dilakukan pelumba kelahiran Russia itu adalah menamatkan perlumbaan di dalam kelompok utama. 

"Aksi hari ini merupakan satu lagi yang sukar. 

"Bagi saya, kejayaan meraih jersi kuning adalah satu perkara yang sangat penting buat pasukan saya," ujar Ovechkin.

Peringkat terakhir sejauh 141.1km itu menyaksikan tiga zon pecutan dan tiga zon pendakian dengan perebutan jersi merah raja bukit masih terbuka luas. 

Pelumba kemudian perlu membuat enam pusingan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur sebelum menuju ke garisan penamat di Bangunan Sultan Abdul Samad. 

Andrea Guardini membuktikan kemampuannya sebagai raja pecut apabila menamatkan saingan selaku juara dengan catatan 3 jam 10:25 saat di hadapan Androni Giocattoli (Sidermec), Manuel Belletti serta Luca Pacioni yang mewakili Willier Triestina Selle Italia. 

Ini merupakan kemenangan peringkat ke-24 dalam karier Guardini sejak penampilan sulungnya pada 2011. 

"Saya benar-benar fokus untuk kemenangan ini sejak dari awal. Kejayaan ini adalah sesuatu yang sukar dipercayai buat saya, terutama apabila melalui beberapa pendakian sebelum aksi terakhir," kata pelumba dari Itali itu. 

Tambah manis buat Guardini, dia turut menyarung jersi hijau sebagai raja pecut keseluruhan dengan 61 mata. 

Jersi kuning keseluruhan menjadi milik Ovechkin selepas mengekalkan pendahuluan 28 saat di depan Lukasz Owsian dari pasukan CCC Sprandi Polkowice,` dengan pelumba Astana, Yevgeney Gidich, meraih jersi putih untuk pelumba terbaik Asia. 

Sementara itu, pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman, muncul pelumba tempatan terbaik keseluruhan. Pencapaian itu sekali gus mengubati kekecewaan pelumba 24 tahun itu apabila misi sebenarnya adalah untuk merebut kedudukan podium dalam lapan peringkat perlumbaan. 

"Saya berpuas hati dengan persembahan dalam LTdL kali ini. 

"Ini adalah penampilan ketiga saya dan saya melakukannya dengan cemerlang, meraih gelaran pelumba terbaik Malaysia. 

"Saya tetap bersyukur walaupun hasrat untuk mendapatkan tempat di podium tidak kesampaian," kata Zawawi.

Percaturan satu lagi pasukan tempatan, Forca Amskins Racing (FAR), yang mempertaruhkan pakar pendaki dari Colombia, Alvaro Duerte, membuahkan hasil selepas dia merampas jersi merah raja bukit pada hari terakhir saingan. 

Terdahulu, jersi itu dipegang pelumba TSG, Ovechkin, namun buruan mata oleh Duerte dalam tiga zon pendakian peringkat terakhir membolehkannya memintas Ovechkin dengan perbezaan tiga mata. 

"Saya amat berterima kasih kepada pasukan Forca Amskins Racing kerana memberi saya peluang untuk berlumba dalam LTdL dan ini merupakan kejayaan buat seluruh kem kami," ujar Duerte.

 

Advertisement

Must Watch Video