Skip to main content

Sukan Lain

Lebih 700 atlet sertai SAMOC

olahraga-sabah.jpg
Lebih 700 atlet dari dalam dan luar negara akan memeriahkan Kejohanan Olahraga Masters Terbuka Sabah (SAMOC) di Stadium Likas, Kota Kinabalu, hujung minggu ini.

Penyertaan dalam kejohanan edisi kesembilan itu juga adalah yang tertinggi dalam sejarah penganjuran.

Kejohanan itu adalah anjuran Persatuan Olahraga Masters Sabah (SAMAS) dengan kerjasama Kementerian Belia Dan Sukan Sabah (KBSS), Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah dan Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS).

Presiden SAMAS, David William, dalam satu kenyataan semalam berkata Kelab Rekreasi Perubatan Sabah (SMRC) mendahului senarai penyertaan dengan 115 atlet, diikuti Papar (111) dan Penampang Masters (75).

"Kami juga telah menerima 60 penyertaan dari luar negara, iaitu Brunei, Singapura, India, Indonesia dan Hong Kong selain peserta dari Filipina dan UK (United Kingdom) yang buat kali pertama turut serta," katanya.

David berkata pasukan yang menghantar penyertaan teramai juga akan menerima trofi Jumbo Team.

Tambahnya, rekod penyertaan termasuk dari luar negara menjadikan kejohanan itu lebih berprestij.

"Kehebatan atlet masters Sabah dalam kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa juga antara daya tarikan buat kejohanan bagi atlet berusia 35 tahun ke atas ini.

"Pasukan luar negara dikatakan menghantar atlet terbaik mereka untuk memberi saingan sengit kepada atlet Sabah yang mendominasi pertandingan peringkat kebangsaan dan antara yang terbaik di peringkat Asia," katanya.

SAMOC juga menjadi tumpuan, terutama buat atlet Asia, sebagai medan persiapan sebelum menghadapi Kejohanan Olahraga Masters Asia (AMAC) di Kuching, 2-6 Disember depan.

Dalam pada itu, David turut berkata SAMOC kali ini akan memperkenalkan acara lompat bergalah lelaki kategori 40-74 tahun.

"Saya berterima kasih kepada bekas atlet kebangsaan Sabah dalam acara ini, Aliudin Jumaat, yang telah berusaha dan menjadi jurulatih seterusnya memasukkan acara ini dalam kejohanan kali ini.

"Ini memberikan peluang untuk menyaksikan aksi Emerson Obiena dari Filipina, pemegang rekod dunia lompat bergalah kategori 50-55 tahun, dan beliau juga adalah musuh tradisi Aliudin pada tahun 1980-an.

"Beberapa lagenda negara juga akan beraksi seperti Gan Chee Keong dari Melaka, Ramjit Nairu, Gabriel Moinjil serta Doly Lokong," katanya.

Advertisement

Must Watch Video