Skip to main content

Sukan Lain

Latif, Siti Rahmah dijulang Olahragawan, Olahragawati kebangsaan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

latif-romly-260417.jpg
Kejutan terbesar dicipta atlet Paralimpik, Abdul Latif Romly, apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan dalam majlis Anugerah Sukan Negara 2016 di ibu negara, malam ini. 

Pencapaiannya itu secara tidak langsung mengetepikan penyandang gelaran, Mohamad Al-Jufferi Jamari, serta juara empat kali, Datuk Lee Chong Wei, dan jaguh berbasikal trek, Azizulhasni Awang.

Siti Rahmah Mohamed Nasir turut melakar sejarah apabila muncul atlet silat pertama dinobatkan Olahragawati Kebangsaan.

Kemenangan dua atlet berkenaan sememangnya tidak diduga apabila calon-calon lain yang tersenarai memiliki pencapaian cemerlang. 

Chong Wei, misalnya, merupakan ikon sukan negara yang cemerlang tahun lalu, dalam Sukan Olimpik yang memberikannya sebutir lagi pingat perak. 

Bagaimanapun, apa yang dilakar Abdul Latif, juga di Rio, namun dalam Sukan Paralimpik, meruntun jiwa jutaan rakyat Malaysia. 

Anak kelahiran Perlis itu bukan sahaja meraih pingat emas dalam acara lompat jauh, malah tiga kali dia memecahkan rekod dunia dalam masa sehari. 

Kejayaan Siti Rahmah pula pula menepis tanggapan bahawa atlet silat tidak mampu menyaingi atlet yang beraksi dalam temasya Olimpik. 

Kejayaan-kejayaan hebat yang dilakar Siti Rahmah pada tahun lalu, terutama emas dalam Kejohanan Dunia di Indonesia dan juga Terbuka Belanda menyaksikan dia menyingkirkan Olahragawati sebanyak tiga kali, Pandelela Rinong. 

Penyampaian piala dan hadiah kemenangan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V.

Senarai Pemenang Anugerah Sukan Negara 2016:

Olahragawan Kebangsaan
Abdul Latif Romly

Olahragawati Kebangsaan
Siti Rahmah Mohamed Nasir

Olahragawati Paralimpik
Siti Noor Radiah Ismail 

Pasukan Lelaki Kebangsaan
Tan Wee Kiong-Goh V Shem

Pasukan Wanita Kebangsaan
Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong

Jurulatih Lelaki Kebangsaan
R. Jeganathan

Jurulatih Wanita Kebangsaan
Chin Eei Hui

Anugerah Tokoh Sukan
Tun Jeanne Abdullah
Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar

Anugerah Kepimpinan
Tan Sri Mohd Ali Rustam
N. Shanmugarajah

Anugerah Khas
Tan Sri Morshidi Abdul Ghani
Datuk Dina Rizal





Kredit imej: Majlis Sukan Negara Malaysia
 

Advertisement

Must Watch Video