SUKAN LAIN
Lahad Datu tuan rumah Mr Sabah 2017
Lahad Datu bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Bina Badan dan Fizikal Mr Sabah 2017, April tahun depan.
Kejohanan itu adalah salah satu kejohanan yang dimasukkan dalam kalendar Persatuan Bina Badan Amatur Sabah (SSBA) dan ia akan berlangsung di Dewan Masyarakat Tun Mustapha, Lahad Datu pada 29 April, tahun depan.
Pemangku presiden SSBA, Joannes Stanelous, berkata kejohanan tahun ini akan dianjurkan Kelab Bina Badan Lahad Datu (LDBC) dengan kerjasama SSBA sendiri serta Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah.
Iklan
"Lahad Datu akan menjadi daerah kelima yang menganjurkan kejohanan ini selepas sebelum ini ia pernah diadakan di Sandakan, Tawau, Kota Belud dan Kota Kinabalu," katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Beliau berkata, Kejohanan Mr Sabah itu juga bakal menjadi pentas bagi pemilihan atlet terbaik yang bakal membawa cabaran Negeri Di Bawah Bayu berkenaan ke kejohanan Bina Badan Mr Malaysia di Kuala Lumpur, 19-21 Mei 2017.
"Kita juga harap dengan pengumuman awal mengenai Kejohanan Mr Sabah ini, para atlet akan lebih bersedia untuk menghadapi pertandingan itu," katanya.
Tambah beliau, antara kategori lain yang bakal dipertandingkan termasuk bagi bina badan iaitu kategori junior dan master serta sembilan kategori mengikut berat badan iaitu light flyweight, flyweight, bantamweight, lightweight, welterweight, light middleweight, middleweight, light heavy dan heavyweight.
Bagi acara susuk badan pula, kategori lelaki akan mempertandingkan kategori bawah 170cm serta atas 170cm, manakala bagi wanita, ianya masih belum diputuskan, setakat ini.
Must-Watch Video